'Hari ni hari pertama puasa lepas mak dah pergi, rindu puasa dengan mak'


Ibu adalah wanita pertama yang kita sayangi dan syurga buat kita. Tanpa ibu, hidup terasa sunyi dan kosong. Meskipun semasa hayatnya kita seringkali menyakitkan hatinya, namun percayalah bila si ibu pergi meninggalkan kita, mula terbit rasa penyesalan dan pelbagai persoalan.

Ramadhan dan Syawal merupakan bulan yang paling ditunggu kita semua dengan masakan enak ibu. Bila tiba waktu sahur, sudah kedengaran suara ibu dari dapur memanggil-manggil nama kita, menyediakan minuman panas dan makanan yang berkhasiat untuk kita supaya dapat bertahan seharian berpuasa. Waktu berbuka pula, lauk pauk kegemaran kita sudah terhidang.

Kita yang masih punya ibu dan bapa perlu bersyukur dan beruntung kerana masih dapat meluangkan masa bersama mereka. Tetapi bagi lelaki ini, hanya kiriman WhatsApp ditujukan kepada arwah ibunya untuk melepaskan rindu. 

Ibunya baru meninggal dunia pada awal Januari lalu. Tahun ini merupakan tahun pertama dia berpuasa tanpa ibunya. Kenangan bersama ibunya semasa di bulan puasa juga membuatkan dirinya sebak. 

“Assalamualaikum mak. Hari ini hari pertama puasa lepas mak dah pergi. Semua orang berbuka dengan family diorang. Jijul hari ini sahur sorang-sorang. Berbuka pun seorang-seorang. Jijul rindu berpuasa dengan mak. Rindu nak bawak mak pergi bazar Ramadhan. Rindu nak rasa air tangan mak masak untuk Jijul. 

"Macam mana Jijul nak raya tahun ni. Siapa nak pilihkan baju raya untuk Jijul. Siapa nak masakkan lauk pagi raya untuk Jijul. Siapa nak masakkan lauk pagi raya untuk Jijul. Jijul nak salam tangan siapa pagi raya nanti.”


Semasa ayahnya meninggal dunia, dia masih kecil dan tidak memahami erti kehilangan. Dia yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik menyatakan apabila ibunya meninggal dunia, dia baru terasa sebuah kehilangan.

“Masa abah tak ada, mungkin aku terlalu kecil untuk faham ketiadaan abah. Emak yang bertungkus lumus besarkan aku tiga beradik. But now, bila mak dah tak ada, baru rasa kehilangan lubuk syurga aku..” tulisnya di Twitter.



Status lelaki ini membuatkan netizen berasa sebak dan mereka turut berkongsi perasaan yang sama. 

Sumber: Jijol_Aziz


Sumber : thereporter.my