Hukum Berbuka Puasa Di Rumah Rakan Bukan Islam

Posted on Tuesday, May 28, 2019 | 5/28/2019



Soalan:
Bolehkah berbuka puasa di rumah rakan bukan Islam kerana dia menjemput? Kalau tidak pergi takut terasa pula. Mohon penjelasan.

Jawapan:
Kami berpendapat bahawa berbuka puasa di rumah orang bukan Islam dibenarkan berdasarkan qias dan tidak terdapat nas-nas Syarak yang melarang perbuatan tersebut. Justeru ia kembali kepada kaedah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدليلُ عَلَى التَّحْرِيِْم
“Hukum asal pada setiap sesuatu adalah diharuskan sehingga datangnya dalil yang mengharamkannya.” [Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir (hlm. 133)]

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj (4/405): “Antara (syarat-syarat wajib menjawab jemputan makan) ialah hendaklah yang menjemput itu seorang Muslim. Maka jika dia seorang yang kafir maka tidak wajib untuk menjawab jemputannya kerana tidak ada tuntutan untuk berkasih sayang dengan mereka, dan kerana makanan yang dihidang oleh mereka agak menjijikkan jika terdapat kemungkinan ia adalah najis dan buruk cara penyiapannya. Oleh itu, tidak disunatkan untuk menjawab jemputan seorang Dzimmi seperti mana sunatnya menjawab jemputan orang Muslim pada apa yang disunatkan untuk menjawabnya. Dan diambil daripada ini, bahawa disunatkan untuk menjawab jemputan dzimmi walaupun dimakruhkan untuk bercampur gaul dengan mereka.”


Daripada keterangan di atas dapat kita fahami bahawa:

  • Hukum menjawab jemputan makan orang bukan Islam tidak sama dengan hukum menjawab jemputan orang Islam.
  • Perbezaannya ialah kerana dikhuatiri makanan yang disediakan tidak mematuhi piawai halal dan haram dalam Hukum Syarak, atau dicemari dengan najis. Namun jika jika aman daripada kekhuatiran tersebut, maka kekallah hukum sebagai harus.
  • Sunat menjawab jemputan orang bukan Islam yang bertaraf dzimmi yakni mereka yang memiliki perjanjian aman dan pemeliharaan daripada pemerintah Muslim.
  • Dimakruhkan bercampur gaul dengan mereka jika terdapat bahaya yang boleh mempengaruhi akidah orang Islam. Namun jika tiada bahaya tersebut dan digunakan peluang untuk menyampaikan kebaikan Islam dan mendekatkan mereka kepada Islam dengan hubungan kemanusiaan yang baik, maka diharuskan.

[Rujuk juga al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/77 & 5/98) oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili]

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum berbuka puasa di rumah rakan yang bukan Islam atas jemputan, adalah diharuskan bahkan disunatkan untuk menjawabnya. Ini disyaratkan apabila jamuan itu selamat daripada makanan dan minuman yang haram seperti khinzir, arak dan bahan-bahan bernajis yang lain. Pesanan kami, gunakanlah peluang ini untuk menunjukkan akhlak Muslim yang baik dan sampaikan seberapa mampu mesej-mesej Islam di samping bersama-sama menikmati rezeki yang Allah SWT kurniakan dalam bentuk makanan dan minuman.

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 5/28/2019

0 comments:

Loading...