Hutang punya pasal, sanggup tikam kawan


Seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat ditikam sekumpulan lelaki dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Batu Caves, semalam. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian itu disedari oleh ibu mangsa selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki pada jam 9.55 malam yang memaklumkan anaknya cedera ditikam dan telah dikejarkan ke Hospital Selayang. 

Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku pada jam 8.30 malam ketika mangsa berada di rumah dan didatangi enam lelaki yang menyerangnya. 

Mangsa bergelut dan ditikam suspek di bahagian badan. 

Beberapa barangan peribadi milik mangsa seperti seutas rantai leher dan sebuah telefon bimbit dan kunci kereta turut dilarikan suspek. 

"Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Selayang dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya. 

Bertindak di atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah menahan enam suspek berumur antara 16 hingga 22 tahun di kawasan Raub, Pahang. Semua barang-barang yang disamun oleh suspek turut dirampas. 

Siasatan mendapati, motif kejadian adalah disebabkan masalah hutang di antara mangsa dan salah seorang suspek terlibat. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian


Sumber : thereporter.my