'Itu cadangan khianat & bangsat' - kata Adam Adli & Dr Afif, tapi Dr Maszlee kata itu bukan cadangan PTPTN

Posted on Friday, May 17, 2019 | 5/17/2019



Aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim, hari ini mengecam Pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan susulan cadangan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar pinjaman.

"Wan Saiful tidak membuat kerja ikut aspirasi PH. Dia ingat diri dia lagi besar daripada kerajaan sebab buat keputusan bercanggah dengan kerajaan. Asyik bagi alasan menjengkelkan dengan kata nak bincang.

"Dia menjadikan PTPTN badan paling bangsat dalam negara. Wan Saiful sepatutnya bantu pelajar untuk jelaskan hutang. Ini tidak, bangkit isu lama pasal sekatan ini lagi," katanya. 

Bagi Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin pula, cadangan itu disifatkan sebagai mengkhianati perjuangan PH sebelum PRU14 lalu. 

"Hanya dengan mempunyai niat untuk mengembalikan amalan (sekatan ke luar negara) tersebut umpama mengkhianati perjuangan awal pemuda-pemudi PH.

"Saya berpendapat jika saudara Wan Saiful tidak mampu mempertahankan janji PH, adalah kena pada masanya beliau memikirkan posisi beliau di dalam PTPTN sebagai pengerusi badan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, cadangan itu bukan cadangan PTPTN untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat. 

"Saya lihat apa yang PTPTN kemukakan ialah konsultasi awam. Mereka (PTPTN) inginkan pandangan orang ramai terhadap beberapa perkara. Itu (memperkenalkan semula sekatan terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman) bukan cadangan mereka (PTPTN).

"Cuma apabila wartawan tanya dia (Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan) macam itu... dia pergi jawab pula," katanya. 



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 5/17/2019

0 comments: