Jambatan angkat dibuka kepada kenderaan menjelang Aidilfitri

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan membuka laluan bawah Jambatan Angkat (drawbridge) Muara Sungai Terengganu sebelum hari raya Aidilfitri ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembukaan tersebut bertepatan dengan kehendak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) sebagai pengendali projek.

Katanya, sementara sebelah atas termasuk menara, tempat makan dan lain-lain belum lagi dibuka kepada orang awam memandangkan kerajaan sedang mencari sesiapa yang berkeupayaan dan berminat mengendalikannya.

“Laluan sebelah bawah sahaja akan dibuka sebelum hari raya puasa ini manakala menara dan lain-lain yang berkaitan belum lagi dibuka kepada orang ramai,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri masih menunggu pihak yang berminat untuk mengendalikan menara dan tempat makan di menara tersebut.

“Tentu sekali kerajaan berhasrat memilih pihak yang berupaya berbuat demikian sebab ini adalah ikon negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman.

Kos pembinaan jambatan berukuran 638 meter dan berketinggian 12.5 meter dari aras laut itu, bernilai RM248 juta yang menghubungkan Muara Selatan di Pusat Bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan Muara Utara di Seberang Takir dan ia merupakan komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Jambatan tersebut hampir siap sepenuhnya dan akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai tidak lama lagi.

Katanya, di masa akan datang, operator (pengendali) drawbridge itu dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI).

“Anak-anak syarikat TI akan bertanggungjawab sebagai operator tetapi buat masa ini kerajaan masih mengguna khidmat perunding projek dari negara China,” Jelasnya.

Menurut beliau buat masa ini, beberapa orang yang berpengalaman ditugaskan sebagai perunding untuk memindahkan ilmu teknologi bagi mengendali jambatan tersebut, kepada pihak TI.



Sumber: kulihatlangitbiru.com