‘Kami sudah biasa dengan perkara ini, netizen yang lebih-lebih’ – Bapa Aliff Aziz

KUALA LUMPUR – Bapa kepada penyanyi Aliff Aziz, Aziz Sapdan menjelaskan keluarga mereka menerima dengan tenang mengenai kontroversi yang melanda anaknya itu.

Aziz, 59, berkata dia dan isteri, Siti Hafiza Sheikh Mohamad masih belum bertemu Aliff namun mendoakan yang terbaik buat rumah tangga Aliff dan Bella Astillah.

“Kami dah biasa dengan perkara ini dan keadaan kami di sini okey sahaja cuma warganet sahaja yang lebih-lebih, kami tak ada apa-apa pun.

“Perkara ini sudah banyak kali berlaku, kami dah biasa,”luahnya.

Menurut Aziz, dia jarang mencampuri urusan peribadi Aliff dan pada kebiasaan isterinya yang menjawab segala persoalan daripada media.

“Hari ini Ibu Aliff tak jawab panggilan sesiapa, dia stres di rumah.

“Apa pun yang berlaku selepas ini, saya harap yang terbaik untuk Aliff. Kita doakan yang terbaik untuk mereka sekeluarga,”katanya lagi.

Selasa lalu tular dalam media sosial pendedahan tentang kecurangan terbaharu membabitkan pelakon Aliff Aziz dengan seorang gadis Tiktok yang dikenali dengan nama Nismell.

Kes curang Aliff Aziz ini adalah yang ketiga sepanjang dia berkahwin dengan Bella Astillah. Pertama kali berlaku membabitkan pelakon Afifah Nasir pada 2017 dan kejadian kedua berlaku Februari lalu melibatkan pelakon Oktavia Manrose. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com