Kompaun buang sampah RM50 didik rakyat jaga kebersihan – MB Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kompaun RM50 dikenakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terhadap individu yang didapati membuang sampah merata-rata di daerah ini sebagai hukuman berbentuk pendidikan.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pendekatan dilakukan MBKT itu bagi menangani sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat, untuk memastikan tahap kebersihan khususnya di bandar raya ini sentiasa terjaga.

“MBKT mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada. Kempen juga berjalan, selain papan tanda yang dipasang, tetapi tetap ada yang membuang sampah merata-rata.

“Jadi kita perlu menggunakan pelbagai cara, kadang-kala tegas dan ada juga cara berlembut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja akhir di jambatan angkat atau ‘drawbridge’, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab membiarkan sampah sarap dan sisa makanan berlonggok di tepi padang, selepas selesai berbuka puasa di Dataran Shahbandar dan Pesisir Payang di sini, yang berlatar belakangkan pemandangan indah jambatan angkat atau ‘draw-bridge’.

Justeru, MBKT mengambil tindakan tegas dengan mengenakan kompaun RM50 serta-merta terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan itu.

Dalam pada itu menjelang Aidilfitri ini, beliau berharap orang ramai menjaga persekitaran supaya sentiasa dalam keadaan bersih.

“Kita tidak mahu ia memberi imej buruk kepada negeri. Dalam pada perantau pulang ke Terengganu, rungutan akan memberi kesan negatif kepada negeri.

“Walaupun tindakan tegas diambil, saya harap rakyat faham ia bukan dilakukan suka-suka, tetapi untuk kepentingan bersama,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com