Liga Super: PJ City tambah derita Terengganu

PJ City FC bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk menumpaskan Terengganu FC (TFC) 5-3 dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Kipre Tchetche membuka tirai jaringan TFC pada minit ke-11 menerusi sepakan yang mengenai kaki P. Rajesh dan mengelirukan penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad.

TFC menggandakan kedudukan pada minit ke-17 selepas hantaran Lee Tuck dari sebelah kanan disudahkan dengan baik oleh pemain baru, Mohamad Nabil Latpi.

Pintu gol PJ City bocor lagi menerusi serangan balas tuan rumah menyaksikan Ashari Samsudin menolak kemas hantaran menarik Tchetche pada minit ke-19.

Kem pelawat memperkemaskan rentak dan hampir mengurangkan defisit jaringan namun percubaan Washington Dos Santos pada minit ke-30 melencong ke sebelah tepi.

Hasrat PJ City merapatkan kedudukan berhasil empat minit selepas rehat menerusi Elizeu Araujo Batista yang membuat sentuhan akhir daripada sepakan percuma Bae Beom-geun.

Jaringan itu menenggelamkan Terengganu apabila Pedro Henrique (m-56) membuat kuisan cantik hasil hantaran Mohd Zamri Ramli dari sebelah kiri.

PJ City mengikat kedudukan 3-3 melalui Washington Dos Santos yang melepasi kawalan Igor Zonjic sebelum melepaskan rembatan dari sudut sukar seminit selepas itu.

Zamri, pemain gantian PJ City FC kemudian meletakkan pasukannya di depan buat kali pertama dengan rembatan deras menewaskan Suffian pada minit ke-77.

Derita TFC ditambah menerusi tandukan Henrique pada minit ke-80 yang menyambar umpanan Washington sekaligus melengkapkan kemenangan dramatik 5-3 buat pelawat.



Sumber: kulihatlangitbiru.com