Masuk pengecas dalam mulut, budak 2 tahun terkena renjatan elektrik

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun direnjat elektrik selepas memasukkan pengecas telefon bimbit yang tidak dicabut dari plag ke dalam mulutnya.

Kejadian berlaku ketika mangsa melawat datuk dan neneknya di Jahangirabad pada Jumaat lalu apabila kanak-kanak itu cuba menggigit atau menghisap pengecas yang tidak dipadamkan selepas telefon dicabut darinya, lapor The Mirror.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan keadaan kanak-kanak tersebut selepas insiden berkenaan.

Sementara itu, jurucakap balai polis Jahangirabad, Akhilesh Pradhan berkata, pihaknya tidak membuat sebarang siasatan kerana keluarga kanak-kanak terbabit tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, jika ada pihak datang membuat laporan polis kami akan bertindak sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini terdapat banyak laporan mengenai penggunaan pengecas telefon secara tidak berhati-hati sehingga boleh mengundang maut.

Pada tahun 2017, seorang gadis di Vietnam mati akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang tidur sambil mengecas telefon bimbitnya.

Kabel pengecas yang berlubang menyebabkan wayar elektrik dalaman terdedah dan terkena anggota badannya.

Di Malaysia, pada Disember tahun lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Negeri Sembilan dilaporkan maut apabila menggunakan telefon bimbit sambil mengecasnya.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di lantai bilik tidur oleh ibunya dengan kesan darah di telinga.

Sumber: NewMalaysianPosts



Sumber: kulihatlangitbiru.com