Nak Tahu Kira Sendiri - Rozita Che Wan


Jawapan yang diberikan Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta ketika ditanya jumlah persalinan yang disediakan sempena sambutan 1 Syawal nanti. Pelakon yang popular menerusi drama Kiah Pekasam itu berkata, dia tidak akan berkongsi lagi jumlah persalinan kerana enggan ia dijadikan isu oleh segelintir netizen yang hanya mencari kesalahannya.

"Kalau nak tahu sangat berapa pasang baju raya saya tahun ini, kiralah sendiri bila saya muat naik gambar di Instagram sepanjang Syawal nanti. Kalau saya senaraikan warna baju, pasti ada yang dapat mengagak jumlahnya. Sebut sahaja warna apa, semuanya jadi pilihan. Tetapi, saya tidak akan nyatakan berapa jumlah pakaian untuk raya tahun ini. Saya sudah malas apabila niat sekadar menjawab pertanyaan media disalah erti hingga dijadikan segelintir warganet sebagai modal untuk mengecam," kata isteri kepada Zain Saidin itu.

Rozita bagaimanapun berkata, di samping persalinan baharu, dia juga masih mempunyai beberapa pasang baju yang belum sempat digayakan pada musim raya lalu. Dan mengenai persiapan raya, Rozita berkata, kebiasaannya dia akan menyediakan segala kelengkapan sebelum Ramadan.

"Pakaian yang sudah dipakai, ada yang saya jual semula di Instagram. Paling mahal baju yang dijual pada harga RM3,000. Ada juga yang membeli persalinan saya untuk digayakan pada majlis persandingan. Ikutkan hati memang sayang, tetapi apabila dipertimbangkan, lebih baik saya jual daripada terpaksa menyewa ruang untuk menyimpan.

"Sama ada baju atau biskut, saya akan siapkan lebih awal. Sejak minggu pertama lagi, persiapan raya saya sudah hampir lengkap. Untuk kepuasan, saya pelbagaikan sama ada koleksi sendiri atau rekaan pereka tempatan lain seperti Rizman Ruzaini, Ezuwan Ismail dan Calvin Thoo," katanya yang akan beraya di ibu negara serta Alor Setar, Kedah.



Sumber: Oh! Media