PBSNT belum ada calon ganti Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) belum mendapat bayangan siapa yang bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Irfan Bakti Abu Salim selaku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC).

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, isu peletakan Irfan masih baharu dan pihak pengurusan PBSNT belum ada calon yang sesuai untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

"Setakat ini, kita guna khidmat penolong jurulatih, Nafuzi Zain dulu kerana belum dibincangkan dengan lebih terperinci kerana isu ini masih baharu.

"Bagaimanapun, kita akan lihat macam mana calon yang sesuai untuk memikul amanah sebagai ketua jurulatih TFC selepas peletakan Irfan," kata Tengku Farouk Husin.

Pagi semalam dalam mesyuarat khas PBSNT yang juga mesyuarat bedah siasat pasukan susulan prestasi tidak konsisten TFC, Irfan mengambil keputusan mengejut apabila mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa dengan serta merta.

Keputusan dibuat pengendali berusia 67 tahun itu sebagai mengambil tanggungjawab atas kemerosotan prestasi pasukan termasuk kekalahan memalukan kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) 3-5 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa lalu.

Selain itu, TFC juga gagal mara ke separuh akhir Piala FA.

"Keputusan Irfan meletak jawatan adalah di luar jangkaan kami, beliau sendiri yang sukarela nak letak jawatan mengambil tanggungjawab atas persembahan hambar pasukan pimpinannya, kita semua pun terkejut.

"Bagaimanapun selepas mengambil kira semua aspek, kita bersetuju dan menghormati keputusan nekad beliau atas prestasi buruk pasukan," katanya.

Berhubung tanggungjawab ketua jurulatih sementara yang bakal dipikul Nafuzi serta dua pembantunya, Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar, Tengku Farouk berharap beliau mampu memikul tugas itu dengan berkesan.

"PBSNT mengharapkan TFC kembali bangkit terutama perlawanan dengan FELDA United Sabtu ini di tempat lawan dengan harapan pengendali sementara itu dan pembantunya mampu meningkatkan prestasi pasukan," katanya. - Berita Harian