Pemain import baru TFC? tunggu pengumuman rasmi esok

Posted on Tuesday, May 28, 2019 | 5/28/2019



KUALA LUMPUR: Sehari sebelum jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) melabuhkan tirainya esok, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal mengikat dua pemain import baharu bagi memantapkan Terengganu FC (TFC).

Bagaimanapun menurut sumber, PBSNT belum mahu mendedahkan nama pemain berkenaan kerana ia masih lagi dalam proses akhir pendaftaran.


"Belum selesai lagi proses pendaftaran, selepas selesai pendaftaran esok, kita akan buat pengumuman secara rasmi," kata sumber itu.

Ketika ditanya posisi pemain yang bakal digugurkan itu, sumber itu juga enggan mendedahkannya sebaliknya menyatakan dua pemain baharu akan bersama pasukan pada jendela kedua perpindahan pemain.

"Kita akan tukar dua pemain import bagi memantapkan lagi pasukan," kata sumber itu ringkas.

Berdasarkan prestasi semasa, pemain pertahanan kelahiran Montenegro, Igor Zonjic dan pemain tengah dari Kemboja, Thierry Chantha Bin berkemungkinan besar digugurkan daripada skuad itu selepas gagal mempamerkan aksi konsisten.

Malah dua pemain itu tidak beraksi ketika skuad itu mencatat kemenangan tipis 1-0 menundukkan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu.

Sementara itu, Chantha Bin ketika ditanya adakah dia salah seorang pemain yang bakal diketepikan dalam skuad, enggan mengulas lanjut sebaliknya mengakui belum mendapat pengesahan secara sah daripada majikannya.

"Setakat ini masih belum dapat pengesahan secara rasmi lagi daripada TFC, jadi saya tidak boleh komen lebih lanjut," kata pemain kebangsaan Kemboja itu yang menyatakan masih lagi berminat menyarung jersi skuad Penyu itu selepas cemerlang musim lalu bersama TFC.

Situasi sama juga dinyatakan Zonjic yang masih belum mendapat pengesahan secara rasmi sama ada terus kekal bersama TFC atau digugurkan.

"Ia masih tidak rasmi lagi, saya perlu tunggu kerana segala keterangan dalam kontrak perlu dihormati. Ia akan rasmi bila semuanya berlaku," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 5/28/2019

0 comments:

Loading...