Pemuda PAN Perak mahu penceramah agama dipantau

IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak menggesa ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri ini berperanan dalam memantau isi kandungan kuliah atau ceramah yang disampaikan supaya rumah ibadat umat Islam terhindar daripada unsur politik kepartian dan kebencian atas nama perpaduan ummah.

Naib Ketuanya, Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis berkata, ia berikutan terdapat aduan diterima mengatakan sesetengah penceramah termasuk mereka yang mempunyai tauliah, telah menyampaikan ucapan berbaur politik dalam ceramah mereka.

Beliau berkata, perkara itu sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli jemaah yang tidak memiliki ideologi politik sehaluan.

“Sesungguhnya sikap dan disiplin dalam menyampaikan ilmu seharusnya menjadi perkara yang perlu diambil perhatian supaya masjid dan surau di negeri ini terus menjadi medan menyampaikan mesej kedamaian dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

“Jika mahu berkongsi ilmu, kongsilah tentang kebenaran Islam. Semoga dengan nasihat dan teguran Sultan Perak akan menjadikan masjid dan surau di negeri ini terus makmur serta memainkan peranannya sebagai pusat penyatuan ummah dalam erti kata yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, Pemuda PAN Perak menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkaitan larangan penyalahgunaan masjid dan surau untuk aktiviti berunsur politik kepartian di negeri ini.

Beliau berkata, tindakan segera dan berhemah baginda dalam menangani isu berkenaan seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak agar perkara sama tidak berulang.

“Pemuda PAN Perak dari awal berpendirian bahawa kedudukan masjid dan surau haruslah bersifat bebas politik kepuakan dan tidak berpihak kepada mana-mana ideologi politik bagi memastikan keharmonian sesama ahli masyarakat terus terpelihara.

“Bahkan, sifat meniupkan kebencian dan menjadi batu api dalam masyarakat merupakan ajaran yang tidak selari dengan mesej Islam sebagai rahmat kepada semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com