Peniaga pasar malam didakwa bakar kereta Mufti Perlis

KANGAR: Seorang peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pada 22 Mac lalu.

Mohd Azimar Abd Razak, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Tertuduh didakwa membakar kereta Honda Accord warna hitam milik kerajaan negeri dengan maksud hendak menyebabkan kerosakan kepada kenderaan itu bersama seorang suspek yang masih bebas di Jalan Persiaran Wawasan, di sini, pada jam 5 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Norsyuhada Mohd Yatim, tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh berikutan kes itu membabitkan kepentingan awam dan kenderaan milik kerajaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah, tawaran jaminan dikhuatiri akan menyebabkan kejadian yang sama berulang kembali selepas kes itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, Najidah Romli, memohon mahkamah menawarkan ikat jamin ke atas anak guamnya.

Katanya, Mohd Azimar menjaga dua orang anaknya berusia 9 dan 11 tahun selain turut menanggung seorang kakak berusia 46 tahun yang menghidap strok.

Ainul Shahrin kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai depan.

Beliau turut memberi amaran ke atas tertuduh agar tidak mendekati mangsa, ahli keluarga atau kenalan rapat mangsa, selain memerintahkan dia melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes pada setiap 1 haribulan setiap bulan.

Pada 22 Mac lalu, BH melaporkan kereta rasmi kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat.

Siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan dendam berhubung pemecatan imam di negeri itu beberapa bulan lalu.



Sumber: kulihatlangitbiru.com