Remaja Bunuh Diri Selepas Dapat Undian Oleh Netizen Di Instagram


Seorang remaja 16 tahun di Kuching, Sarawak menemui ajal kerana merealisasikan undian daripada netizen yang mengundinya untuk "MATI" sehingga mangsa itu terjun dari bangunan tingkat tiga di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah di Sarawak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan memberitahu, mangsa telah membuat undian tersebut melalui akaun Instagram dengan menulis catatan 'Really Important, Help Me Choose D/L pada kotak undi. D bermaksud 'die' (mati) manakala L bermaksud Life (hidup).

"Sebanyak 69 peratus rakan instagram mangsa menyokong hasratnya untuk mati menerusi kotak undi yang dimuat naik sekitar jam 3 petang" Mangsa turut memuat naik status 'WANNA QUIT F**KING LIFE I’ M TIRED' dalam facebooknya.

Semakan pada telefon bimbitnya pula, menemui status WeChat yang mengucapkan sayang kepada kawan-kawannya, yang ditulis dalam bahasa Cina. Kata Aidil, remaja tersebut dipercayai tertekan selepas bapa tirinya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang pulang ke rumah mereka.

Mangsa ditemui sekitar jam 8.00 malam oleh seorang lelaki, yang kemudian melaporkan insiden tersebut kepada Balai Polis Batu Kawa. Sejurus selepas itu, adik lelaki mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka selepas makan bersama ibunya, seorang warga Indonesia turut ternampak mangsa dalam keadaan terlentang di permukaan jalan dengan berlumuran darah.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat, yang dijadualkan petang semalam. Tiada unsur jenayah dikesan di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Oh! Media