Saya Mengaji Bukan Untuk Menunjuk - Lisa Surihani


Pelakon Lisa Surihani mengakui ada sebab tersendiri kenapa tidak berkongsi aktiviti mengajinya di media sosial. Menurut Lisa, bacaannya masih tidak lagi sempurna selain perkara tersebut bertentangan dengan tujuan asalnya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

"Saya mengaji bukan untuk menunjuk sebaliknya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kalau saya berkongsi aktiviti tersebut di media sosial ia dah lari daripada tujuan asal saya.

"Lagipun bacaan saya masih tidak sempurna. Namun ada juga sesekali itu saya berkongsi mana-mana ayat Al-Quran yang dibaca kepada pengikut saya. Sekurang-kurangnya dengan cara itu saya dapat berkongsi ilmu dengan mereka di media sosial," katanya.

Lisa berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan artis, Rocketfuel Entertainment bersama anak-anak yatim di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lisa telah mendirikan rumah tangga dengan Yusry Abdul Halim pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.



Sumber: Oh! Media