Solat tarawih paling lama, ambil masa lapan jam

MASYARAKAT Indonesia digemparkan dengan berita penduduk di daerah Indramayu yang menunaikan solat tarawih sebanyak 23 rakaat hanya dalam tempoh tujuh minit, namun lain pula keadaan bagi penduduk di daerah Magetan, Jawa Timur.

Liputan6 melaporkan, penduduk di Desa Temboro, mukim Karas menunaikan solat tarawih yang diadakan di Masjid Agung Al-Fatah sebanyak 23 rakaat termasuk solat witir dalam tempoh lapan jam.

Ini selepas imamnya membaca satu mashaf al-Quran atau bersamaan satu juzuk al-Quran bagi setiap satu rakaat.

Pengurus Pondok Pensantren Al Fatah, Zaenal Abidin berkata, solat tarawih itu diadakan pada setiap hari sepanjang Ramadan.

“Biasanya, solat tarawih akan dimulakan selepas solat Isyak dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan iaitu hampir dengan masa bersahur,” katanya. – AGENSI



Sumber: kulihatlangitbiru.com