Suspek ambil pistol ketika bapanya sedang tidur - Polis


Polis merampas sepucuk polis jenis Glock 42, sarung pistol, 12 peluru dan lesen pemilikan senjata api milik bapa kepada remaja lelaki yang menembak kepala monyet dalam sangkar sehingga mati. 

Siasatan polis mendapati, remaja yang tidak bekerja itu mengaku mengambil pistol milik bapanya ketika lelaki itu sedang tidur di dalam pondok di kebun pisang mereka pada hari kejadian. 

"Dia juga mendakwa melakukannya (tembak monyet) kerana suka-suka dan mendakwa monyet itu ditangkap di kebun kerana merosakkan hasil tanaman, sebelum menembaknya dengan satu das tembakan. 

"Bapa suspek pula memaklumkan pelaku dalam video yang tular itu seakan anaknya dan polis akan ke lokasi kejadian untuk meneruskan siasatan lanjut," kata Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, hari ini. 

Suspek bapanya yang juga peniaga akan direman selama empat hari sehingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan. 

Datuk Razarudin berkata, kejadian itu merupakan kejadian pertama dilakukan oleh suspek dan pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada remaja itu mempunyai masalah mental atau tidak. 

"Dalam kes ini, si bapa mengaku tidak tahu senjata api itu diambil anaknya. Kejadian ini tidak seharusnya berlaku kerana bukan sahaja membabitkan kesalah menggunakan senjata api, malah penganiayaan terhadap haiwan," katanya. 

Ekoran kejadian itu, beliau menasihatkan pemegang lesen senjata api lebih berhati-hati dalam memastikan keselamatan senjata mereka dan meletakkannya di tempat yang lebih selamat agar tidak boleh diambil oleh anak. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN:


Sumber : thereporter.my