Tiga minggu berlalu, abang bomba masih gagal lupakan arwah adik

WALAUPUN sudah hampir tiga minggu kejadian menyayat hati itu berlalu, anggota bomba Kholid Abu Kasim masih terkesan dengan pemergian adiknya Rarzalina Abu Kasim yang maut dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Tebing Tinggi, Jerantut.

Lebih memilukan, kejadian itu disedarinya selepas melakukan kerja pembersihan di lokasi kemalangan sebelum secara tidak sengaja melihat kad pengenalan adik perempuannya.

Hari ini, personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya telah berkongsi sebuah video temubual bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut itu yang disiarkan menerusi rancangan Malaysia Hari Ini.

“Bayangkan anggota bomba ini menguruskan mayat yang terlibat dengan kemalangan. Hujung-hujung baru tahu mayat itu adalah adik kandungnya.

“Luluh hati, semoga mereka sekeluarga tabah,” katanya menerusi Twitter.

Menerusi video berdurasi hampir dua minit itu, Kholid menceritakan kembali detik-detik kejadian berkenaan sehingga tidak dapat menahan sebak apabila teringat kembali peristiwa menyayat hati itu.

Posting daripada Ahmad Fedtri itu mendapat lebih 26,000 ulang kicau dan hampir 18,000 tanda suka dengan pelbagai komen daripada netizen yang rata-rata mengucapkan takziah serta meluahkan rasa sedih mereka.




Sumber: kulihatlangitbiru.com