‘Tolong jangan ganggu siasatan kami’ – Polis beri amaran kepada Mufti Perlis

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin diminta untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang membabitkan kejadian kebakaran kereta rasminya pada Mac lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, ini kerana tindakan Mohd Asri boleh menimbulkan spekulasi liar, selain mengganggu siasatan pihaknya.

“Saya minta jangan ada yang suka membuat spekulasi liar dalam media sosial kerana perkara ini (kejadian kebakaran) masih dalam siasatan pihak polis.

“Kita masih melakukan soal siasat terhadap suspek berhubung perkara ini, jadi untuk berkata sesuatu yang masih belum pasti kesahihannya, saya rasa tidak sesuai apatah lagi di bulan mulia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan terbaru pihaknya berhubung kejadian berkenaan, Noor Mushar enggan mengulas dengan lebih lanjut.

“Saya akan maklumkan kemudian atau dalam jangka masa terdekat mengenai perkembangan terkini berhubung perbuatan khianat ke atas Mohd Asri,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada 22 Mac lalu, kereta Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak tertentu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk bersolat Subuh pada 6.05 pagi hari kejadian itu berlaku.

Sehubungan itu, seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan polis di Jelempok, Arau bagi membantu siasatan pihak polis berhubung kejadian berkenaan.



Sumber: kulihatlangitbiru.com