Wanita jumpa sarung tangan plastik dalam air minuman McD

KUALA NERUS – Seorang wanita terkejut apabila menemui sepasang sarung tangan plastik dalam minuman yang dibeli di restoran McDonald’s Gong Badak, di sini, hari ini.

Menurut wanita yang menggunakan nama ‘Mut Tam’ di Facebook itu, minuman itu dibeli oleh suaminya menerusi kaunter pandu lalu restoran tersebut.

Setibanya di rumah, dia memberikan minuman itu kepada anaknya. Setelah habis minum, anaknya mahu memakan ais yang masih berbaki di dalam cawan minuman tersebut.

“Ketika itu saya ambil cawan minuman daripada anak saya tetapi tidak menyangka ada sepasang sarung plastik tangan di dalamnya.

“Saya tak dapat menerima kecuaian ini. Bagaimana kalau anak saya tertelan plastik itu tentu jadi keadaan yang lebih teruk,” katanya.

Sejurus selepas itu, Mut Tam kembali semula ke restoran untuk berjumpa dengan pengurus restoran.

Dia diminta membuat laporan kepada ibu pejabat McDonald’s dengan segera supaya tindakan dapat diambil.

Pengurus restoran juga memberikan kerjasama sepenuhnya dan turut mengakui perbuatan tersebut sebagai melampau.



Sumber: kulihatlangitbiru.com