Adakah Perlu Diasingkan Mayat Orang Bunuh Diri Dari Mayat Umat Islam Lain?

Posted on Friday, June 28, 2019 | 6/28/2019



Soalan:
Adakah mayat orang yang mati disebabkan membunuh diri perlu diasingkan dengan mayat umat Islam lain di tanah perkuburan?

Jawapan:
Perbuatan membunuh diri merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang dimurkai oleh Allah SWT. Ini berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan as-Sunnah, antaranya ialah:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” [Surah al-Isra’: 33]

Ayat ini menunjukkan haram untuk membunuh manusia tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara’. Keumuman larangan ini termasuklah larangan terhadap membunuh diri sendiri.

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَة
“Sesiapa yang membunuh diri dengan cara tertentu, pada hari Kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu juga.” [Riwayat al-Bukhari (6047) dan Sahih Muslim (110)]

Hukum Mengebumikan Jenazah yang Mati Disebabkan Bunuh Diri

Ulama bersepakat bahawa orang yang mati disebabkan membunuh diri tidak terkeluar daripada Islam walaupun telah melakukan salah satu daripada dosa-dosa besar. Ulama juga bersepakat bahawa jenazah orang yang membunuh diri wajib dikafankan dan dikebumikan di perkuburan umat Islam dan ia adalah satu fardhu kifayah seperti mana kewajipan memandikannya dan mengerjakan solat jenazah ke atasnya. [Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (6/295)]

Imam ibn Battal Rahimahullah telah berkata: “Ijma’ fuqaha dan ahli sunnah bahawa sesiapa yang membunuh diri tidak mengeluarkannya daripada Islam, disolatkan ke atasnya dan dosa ke atasnya (atas perbuatan membunuh diri) seperti mana yang dikatakan oleh Imam Malik, dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam.” [Rujuk Syarh Sahih al-Bukhari (3/349)]

Imam Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullah telah berkata: “Dan memandikan jenazah, mengkafankannya, mengerjakan solat ke atasnya, membawanya ke kubur dan mengebumikannya merupakan fardhu kifayah secara ijma’ berdasarkan suruhan-suruhan daripada al-Quran dan as-Sunnah, sama ada ke atas jenazah yang membunuh diri atau selain daripadanya.” [Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (2/441)]

Kesimpulan

Orang Islam yang meninggal dunia disebabkan perbuatan membunuh diri tidak mengeluarkannya daripada agama Islam disebabkan perbuatannya itu, bahkan menjadi fadhu kifayah kepada umat Islam lain untuk memandikanya, mengkafankannya, mengerjakan solat ke atasnya serta mengebumikannya di tanah perkuburan umat Islam.

Oleh itu, kami berpandangan mayat orang yang mati disebabkan perbuatan membunuh diri tidak perlu diasingkan dengan mayat-mayat lain di tanah perkuburan Islam. Mayatnya diuruskan seperti mayat-mayat umat Islam yang lain termasuk tempat diletakkan mayat tersebut di tanah perkuburan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 6/28/2019

0 comments:

Loading...