"Ayah Mohon Maaf Sebab Telah Banyak Buat Salah Pada Awak Disaat Awak Dalam Kandungan" - PU Abu


Peserta Pencetus Ummah (PU), Abu Sufyan menimang cahaya mata sulungnya, seorang bayi lelaki pada Jumaat lalu. Menerusi entri yang baru dimuat naik di Instagramnya, dia memaklumkan bekas isterinya, Ain Afini Latiff telah selamat melahirkan bayi mereka di Hospital Shah Alam pada jam 12.55 tengah hari.

"Ayah mohon maaf sebab telah banyak buat salah pada awak di saat awak dalam kandungan. Jaga hati ummi elok-elok sebab banyak pengorbanan ummi sepanjang awak ada dalam perut ummi," tulisnya.

PU Abu turut meluahkan penghargaan terhadap Ain yang bersusah payah melahirkan zuriat mereka. Difahamkan PU Abu berada di hospital untuk menyambut kelahiran anak sulungnya itu.

"Terima kasih kerana telah melahirkan anak hebat ini. Moga dia mewarisi kesabaran dan kekuatan awak sepanjang kandungkan dia. Selepas bayi lahir, tangan saya yang menyambutnya. Saya terharu dapat azan di telinganya," katanya.

PU Abu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila didakwa menceraikan Ain dan mengahwini seorang wanita lain iaitu Hana Azra ketika Ain sedang sarat hamil.



Sumber: Oh! Media