Beraya tanpa mata kanan angkara mercun bola

KANAK-KANAK lelaki 10 tahun berkemungkinan buta selepas mata kanannya parah terkena letupan mercun dalam kejadian di Tanjung Batu, Nenasi, Pekan, semalam.

Difahamkan, kanak-kanak itu bermain mercun bola di kawasan rumahnya sebelum kejadian.

Menurut sumber, mangsa cuba menyalakan mercun berkenaan yang diletakkan di dalam sebuah tin, namun ia tidak meletup.

“Mangsa kemudiannya cuba memeriksa tin berkenaan, namun ketika dia membuka penutup tin itu secara tiba-tiba berlaku letupan.

“Letupan itu menyebabkan serpihan tin itu terkena pada mata kanan mangsa sehingga menyebabkan berlakunya pendarahan,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk mendapat rawata,n namun dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, berikutan keadaannya yang serius.

Katanya, hasil pemeriksaan pakar perubatan menjumpai serpihan tin di dalam mata mangsa.

Difahamkan, mata mangsa sudah tidak berfungsi berikutan keadaannya yang hancur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.

Beberapa keping gambar keadaan mangsa tular di laman sosial Facebook sejak semalam yang dimuat naik oleh seorang doktor yang merawatnya sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.



Sumber: kulihatlangitbiru.com