Dituduh curi wang, kanak-kanak 7 tahun ditekap sudu panas hingga melecur

POLIS memburu lelaki yang dipercayai mendera anak angkatnya sehingga melecur selain memukul kanak-kanak terbabit di rumah mereka di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Serdang 30 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu angkat kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu semalam yang memaklumkan mangsa didera bapa angkatnya.

“Menurut wanita berusia 25 tahun itu, mangsa dipercayai didera menggunakan sudu panas selain dipukul suaminya sebelum melarikan diri keesokan hari.

“Ketika kejadian, mangsa bersama suspek berusia 48 tahun yang bekerja sebagai penjual ikan di Pasar Borong Selangor serta anak lelakinya berusia sembilan tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan suspek terhadap mangsa yang dikatakan mencuri wangnya.

“Selepas kejadian itu, suspek hanya memberikan minyak sapu kepada mangsa dan mangsa tinggal di rumah sehingga mak angkatnya yang bercuti di India dari 24 Mei sehingga 2 Jun lalu pulang.

“Mangsa yang juga anak angkat diambil secara sah oleh pasangan itu sejak tahun lalu dan kini ditempatkan di Hospital Serdang akibat melecur kedua-dua pipi, tangan, pinggang kanan dan kaki kiri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memburu suspek yang dipercayai melarikan diri.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com