Doktor sahkan Ainul bakal dibedah, perlukan doa seluruh rakyat Malaysia

KELUARGA Ainul Mardhiah, bayi berusia sembilan bulan penghidap ketumbuhan kanser Germ Cell Tumor yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London, sudah dimaklumkan pihak hospital mengenai risiko pembedahan berkenaan.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata doktor pakar yang akan membuat pembedahan memaklumkan beliau pembedahan berkenaan sangat berisiko tinggi dan sebelum pembedahan, pelbagai faktor perlu mereka teliti kerana terlalu berisiko kepada bayi istimewa itu.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang melakukan pembedahan mahu anaknya betul-betul bersedia sebelum menjalani pembedahan secara besar-besaran yang mengambil masa panjang.

“Ainul sah akan dibedah tidak lama lagi, cuma sekarang ini mereka di sini mahu Ainul besar dan kuat sikit terlebih dulu supaya selamat tanpa sebarang komplikasi.

“Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pun sudah buat, doktor pakar pun sudah berbincang dan selepas mereka teliti keadaannya serta bincang kaedah pembedahannya, mereka sebulat suara memutuskan pembedahan akan dijalankan,” katanya menerusi Facebooknya, malam ini.

Ahmad Safiuddin berkata beliau dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, berharap semua pihak dapat bersabar dan mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

Katanya, mereka yakin dengan kekuasaan Allah dan dewan bedah akan dipenuhi malaikat yang menjaga anaknya selain Allah akan berikan ilham kepada pakar perubatan yang merawatnya.

“Insya-Allah, Allah itu sentiasa ada. Allah ada dengan Ainul, kami dan kita semua, mudah-mudahan puteri kesayangan kami selamat menjalani pembedahan.

“Allah yang gerakkan hati manusia, ilmu perubatan adalah ilmu dari Allah dan kami sangat yakin, bila tiba hari pembedahan nanti, Allah pasti akan turunkan bantuannya kepada Ainul,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com