Gangguan bekalan air di Terengganu ‘sempena’ Aidilfitri

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 7,225 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dijangka mengalami gangguan bekalan air pada Aidilfitri berikutan masalah penggunaan yang melebihi kapasiti pengeluaran sepanjang musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong, berkata kapasiti penggunaan air sepanjang musim perayaan dijangka meningkat 30 peratus berbanding pada hari biasa berikutan kepulangan perantau dan cuti persekolahan yang panjang.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan berlakunya gangguan tekanan air yang rendah, terutama pada waktu puncak kepada pengguna bagi sesetengah kawasan.

“Sebanyak 2,923 akaun pengguna dijangka terjejas di daerah Kuala Terengganu manakala Marang (2,133) Hulu Terengganu (470) , Setiu (200) dan Besut (1,500),” katanya.

Ir Atemin berkata, SATU mengambil langkah penambahbaikan dan persediaan awal untuk menangani serta meminimumkan masalah gangguan bekalan air di musim perayaan ini.

Katanya, pihaknya mengenal pasti kawasan yang dijangka menghadapi masalah dan melakukan penambahbaikan seperti mengubahsuai sempadan bekalan air dan pembaikan terhadap perkakasan sistem agihan.

“Tangki statik juga akan ditempatkan lebih awal di kawasan terjejas. Lori tangki sentiasa bersedia untuk menghantar bekalan air sekiranya diperlukan.

“Semua aset logistik berada dalam keadaan baik dan sedia digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.

Berikut kawasan dijangka terjejas dengan gangguan bekalan air:

* KUALA TERENGGANU

Kampung Kesom, Kampung Bukit Petiti, Kampung Banggol Peradong, Kampung Telari, Kampung Padang Machang, Kampung Kubang Bujuk, Kampung Padang Ujik, Kampung Kubang Lembek, Kampung Guntong, Kampung Pengkalan Binjal dan Kampung Surau Haji Yaakob.

* MARANG

Kampung Padang Pauh, Kampung Gong Kasim, Kampung Durian Pahit, Kampung Pasir Putih, Kampung Alur Pak Bang, Taman Mas Murni, Kampung Bukit Mawi Kijing, Kampung Bukit Kemas Kelulut, Taman Rashidah, Taman Bukit Indah, Kampung Bukit Jetit, Pengkalan Berangan, Kampung Kubu, Kampung Tok Muchong, Kampung Pasir Tinggi, Kampung Tiruk, Tanah Lot SPKA, Kampung Banggol Pak Ali, Kampung Tasek, Kampung Wakaf Pak Ya Paya Resak, Kampung Machang Lada, Kampung Bukit Cerana Wakaf Dua, Kampung Bukit Parit dan Jerung Seberang.

* HULU TERENGGANU

Kampung Kuala Telemong, Kampung Chepoh, Kampung Pantai Ali dan Kampung Tanjung Aur.

* SETIU

Kampung Bintang dan Kampung Bukit Grebar.

* BESUT

Kampung Seberang Jerteh, Kampung Padang Luas, Taman Pelagat Utama, Kampung Paroh, Kampung Padang Tapong, Kampung Padang Landak, Kampung Laklok, Taman Saujana, Taman Desa Saujana, Taman Mawar Baiduri, Kampung Kubang Siam, Taman Falahiah dan Taman Bakti.



Sumber: kulihatlangitbiru.com