Keputusan pelantikan Latheefa muktamad – Mahathir

PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru adalah keputusan muktamad, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana menteri berkata lantikan itu dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.

“Tak ada masalah, saya lantik banyak orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik, ini (pelantikan Latheefa) satu daripada pegawai, itu saja… (keputusan melantik Latheefa) kalau dah putus, muktamadlah, takkan nak kalih balik, nanti kata saya U-turn,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir di Seri Mentaloon di Alor Setar, Kedah hari ini.

Turut serta isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Khamis lepas yang berpendapat perdana menteri perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa itu selain Dr Mahathir juga ditanya tadi sama ada keputusan pelantikan berkenaan itu muktamad ataupun tidak.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata hubungannya dengan Anwar masih baik dan tiada masalah malah perdana menteri menganggap Presiden PKR berkenaan berhak mendapatkan penjelasan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu.

“Dia berhak nak tanya, saya berhak beri jawab,” katanya.

– Bernama



Sumber: kulihatlangitbiru.com