“Kes Pencemaran Kali Ini Berbeza” - Timbalan Menteri Alam Sekitar


Kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini, sehingga menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas, disifatkan berbeza dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang berlaku Mac lepas.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis berkata hal ini kerana bahan cemar yang disyaki itu, tersebar melalui pemeruapan akibat cuaca panas, keadaan topografi di Pasir Gudang dan arus angin monsun Barat Daya yang bertiup dari Selatan.

“Kes pencemaran kali ini memang sangat berbeza dengan Sungai Kim Kim, saya ingin maklumkan juga bahawa semua sisa-sisa dari sungai berkenaan sudahpun diproses melalui incinerator pada 8 April lepas.

“Jadi kita mahu kenal pasti dahulu. Kalau Sungai Kim Kim, kita dapat kenal pasti ‘ground zero’ pencemaran di mana dan bahan toksik dibuang di sungai dan mengalir, tetapi (pencemaran kali ini) masih dalam siasatan,” katanya

“Bagaimanapun, radius pemantauan (daripada lokasi pertama insiden berlaku Sekolah Agama Taman Mawar) juga telah diperluaskan sehingga 15 kilometer,” katanya.

Sumber : Bernama

Sumber: Oh! Media