Mekanik pukul isteri, tendang anak gara-gara tidak dapat duit raya RM10

KUALA TERENGGANU – Seorang mekanik direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan selepas memukul isteri dengan papan luncur dan menendang kepala anak mereka yang berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Gong Pak Damat, Gong Badak, Kuala Nerus, Khamis lalu.

Kejadian berlaku selepas permintaan suspek untuk pinjam duit raya anaknya sebanyak RM10 tidak diendahkan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood bagi membolehkan lelaki berusia 32 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumahtangga 2012.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek mengejutkan anak lelakinya itu yang sedang lena tidur dengan cara kasar semata-mata hendak meminjam duit raya mangsa yang berjumlah RM10 untuk membeli kad nilai tambah prabayar.

Bagaimanapun mangsa memaklumkan yang dia tidak mempunyai duit sebelum suspek mengamuk dengan bertindak menendang kepala kanak-kanak itu.

“Suspek bertindak sedemikian apabila berang mangsa menipunya kerana tahu anaknya itu mempunyai banyak duit raya selepas berhari raya bersama saudara mara pada hari raya pertama.

“Perbuatan suspek yang menendang kepala mangsa disedari isterinya sebelum cuba menghalang tindakan melampau itu, namun tidak dihiraukan.

“Malah, suspek bertindak memukul isterinya itu dengan papan luncur di kepala selain melempar kereta mainan sehingga terkena di dahi wanita itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas sumber lagi, akibat tindakan itu, isteri suspek berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan bengkak dan luka sehingga berdarah di dahi.

“Suspek juga didakwa sebelum ini kerap mengamuk sehingga menyebabkan kerosakan harta benda di dalam rumah malah pernah menyebabkan kecederaan orang di sekelilingnya,” katanya.

Sumber berkata, susulan laporan dibuat isteri suspek pada petang kejadian di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus, suspek ditangkap kira-kira jam 11.45 malam tadi di Tepoh.



Sumber: kulihatlangitbiru.com