Pasar terapung akan diwujudkan berhampiran drawbridge

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sedang dalam perancangan mewujudkan pasar terapung, bersekali dengan pakej kewujudan mercu tanda ikonik baharu Terengganu, drawbridge dan Taman Tamadun Islam (TTI) yang dijangka direalisasikan tahun depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini, pihaknya masih dalam peringkat kajian yang menyentuh pelbagai perkara untuk diperincikan sebelum dilaksanakan kelak.

Beliau memberitahu, kajian turut merangkumi konsep pasar terapung sebagaimana terdapat di kebanyakan negara antaranya di Bandung, Indonesia selain Hatyai serta Bangkok di Thailand.

“Kita pernah tengok beberapa tempat seperti Bandung (Indonesia) Hatyai dan Bangkok (Thailand), jadi kita pelajari apa masalah mereka hadapi termasuk masalah sampah sarap dan sebagainya.

“Buat masa ini kita masih dalam kajian dan sebaik siap nanti kita akan maklumkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Terengganu di kawasan parkir Jalan Sultan Omar di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman.

Sementara itu, Ariffin berkata, pihaknya sedang giat mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan berhubung pasar terapung atau `floating market’ itu termasuk soal konsep serta kesesuaian lokasi.

“Jika segalanya siap dan proses berjalan lancar, pasar terapung ini dijangka diwujudkan di Terengganu tahun depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com