Pejalan kaki tidak dibenarkan lalu drawbridge

Posted on Saturday, June 01, 2019 | 6/01/2019


KUALA TERENGGANU – Pejalan kaki dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan keluar bersiar-siar di sepanjang laluan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang akan mula dibuka untuk tempoh percubaan bermula esok.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Rosli Latif dalam satu kenyataan berkata, langkah itu dibuat atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, segala jenis kenderaan beroda termasuk kereta dan motosikal dibenarkan melalui laluan itu.

“Drawbridge yang menghubungkan muara utara dan muara selatan Kuala Terengganu akan mula dibuka esok, bermula jam 7 pagi.

“Pembukaan pada waktu ini akan memberi manfaat kepada pekerja pejabat yang masih bekerja sebelum cuti perayaan, dalam masa yang sama operasi pengendalian dan keselamatan laluan akan lebih dapat dipercekapkan pada waktu siang hari sebagai permulaan,” katanya.

Jelasnya, kenderaan juga tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan drawbridge.

Bagaimanapun, pengunjung yang ingin mengambil gambar boleh melakukannya daripada aras tanah di sekeliling kawasan jambatan dan bukannya dari atas jambatan.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembukaan jambatan itu selama 16 hari sehingga 17 Jun ini adalah untuk pentauliahan.

Selain itu katanya, ia bagi pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya dan koordinasi sistem penyuraian trafik.



Sumber: kulihatlangitbiru.com
Blog, Updated at: 6/01/2019

0 comments:

Loading...