Pelantikan Latheefa bercanggah janji PH, ramai rakyat tidak setuju

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyifatkan pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercanggah dengan janji dan komitmen Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ini kerana keputusan itu tidak selari dengan hasrat awal manifesto PH malah sebahagian besar rakyat tidak bersetuju.

“Pelantikan Latheefa mencetuskan reaksi yang bercampur-campur semua pihak, selain ramai rakyat tidak bersetuju.

“Rakyat rata-rata tidak setuju, tidak selesa dengan pelantikan tersebut kerana menjadi kerajaan ini kena tengok pandangan rakyat, bukan pandangan kita sahaja,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Katanya lagi, secara peribadi beliau melihat perkara tersebut sebagai tidak wajar dilakukan.

“Yang pertama keputusan itu bercanggah dengan hasrat awal manifesto PH. Kedua, pelantikan orang politik untuk pantau orang politik nampak tidak berapa nak kenalah.

“Apa pun kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk beri kepercayaan.

“Apa yang kita hendak ialah kena telus. Buat masa ini biar dia (Latheefa) beraya dengan jawatan dia dahulu,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com