Piagam Pas-UMNO bakal senasib kerjasama Semangat 46

ALOR SETAR – Piagam yang bakal dimeterai antara PAS dan UMNO akan mengalami nasib sama seperti perjanjian PAS dan Semangat 46 yang akhirnya terkubur begitu sahaja.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar, berkata PAS hanya akan digunakan sebagai batu loncatan untuk UMNO kembali memerintah dan apabila berjaya mengambil alih kerajaan, PAS akan ditinggalkan.

Katanya, perjanjian itu juga tidak dipersetujui oleh semua ahli kedua-dua parti dan ia hanya membabitkan pimpinan teratas.

“Dahulu Semangat 46 adalah serpihan UMNO dan pernah bekerjasama dengan PAS dalam perjanjian tertentu, tetapi akhirnya parti itu tinggalkan PAS dan kembali kepada UMNO.

“Jadi saya rasa kali ini UMNO akan gunakan PAS untuk memerintah saja, selepas itu PAS akan dikhianati, kalau ahli PAS rela hati untuk diperalatkan demi menjulang kembali pemimpin UMNO silakan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan 2,000 ekor ayam kepada 1,000 penerima dari Parlimen Pokok Sena di Kampung Alor Senibung di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama parti itu dengan PAS akan diperkukuhkan secara rasmi apabila mereka memeterai satu piagam bersama selepas Aidilfitri.

Annuar berkata, keputusan itu dibuat selepas kerjasama UMNO dengan PAS dilihat berjalan baik pada pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, namun pembentukan piagam berkenaan masih dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata kerjasama menerusi perjanjian itu juga membuktikan pembohongan pimpinan PAS selama ini yang kononnya tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

Malah katanya, pimpinan PAS pernah menyifatkan kerjasama dengan UMNO seperti menanggung ‘biawak hidup’.

“Dahulu ketika saya bersama PAS, mereka kata saya buat fitnah kerana mendedahkan ada kerjasama antara PAS dan UMNO, pelbagai tohmahan dan fitnah pula yang dilemparkan terhadap saya.

“Tetapi sekarang ia sudah jelas terbukti, ahli PAS yang ikhlas dan jujur sebenarnya duduk dalam kemunafikan politik, perkara ini diharap dapat membuka mata hati mereka,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com