Sanjar Shaakhmedov mahu buru gol lagi


KUALA TERENGGANU: Selepas meledak hatrik ketika membantu pasukannya mencatat seri 3-3 bertemu Melaka United dua minggu lalu, arkitek Terengganu FC (TFC), Sanjar Shaakhmedov mengakui kian 'bernafsu' membantu skuadnya mencatat kemenangan ketika melayan kunjungan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, malam ini.

Malah bekas pemain kelab gergasi Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent itu juga mengintai peluang muncul penjaring terbanyak Liga Super musim ini selepas mengumpul lima gol setakat ini, sama jaringan dengan rakan sepasukannya, Kipre Tchetche. 

"Mungkin rezeki saya selepas berjaya meledak tiga gol ketika membantu pasukan mengutip satu mata bertemu Melaka tempoh hari di Stadium Hang Jebat apatah lagi ketika itu kami ketinggalan jaringan kepada pasukan lawan.

"Justeru menentang Kuala Lumpur esok, saya tekad akan bekerja keras menghasilkan jaringan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

"Bagaimanapun jaringan bukan impian utama saya pada setiap perlawanan kerana apa yang lebih penting kami berjaya mencatat kemenangan, siapa yang menjaringkan gol itu adalah bonus kepada mereka," ujar Shaakhmedov.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Februari lalu, skuad Penyu itu menang tipis 1-0 menundukkan skuad The City Boys itu hasil jaringan bekas pemain pertahanannya, Igor Zonjic melalui tandukan yang menarik.

Mengulas lanjut, pemain beragama Islam kelahiran Uzbekistan itu yang gemar melakukan percubaan dari jarak jauh untuk menghasilkan jaringan menyatakan keserasian dan kerjasama dalam pasukan adalah antara elemen penting dalam setiap perlawanan.

"Bola sepak adalah permainan berpasukan, justeru kerjasama antara rakan sepasukan amat penting, jika tiada elemen itu sukar bagi saya untuk menghasilkan jaringan, begitu juga pemain lain," ujar Shaakmedov yang berpengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC ketika bersama bekas kelabnya bermula 2016. - Berita Harian