Terengganu taja lima pelajar ke Daurah Talaqi Al-Quran di Mekah

KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu menghantar lima pelajar terpilih dari Sekolah-sekolah Agama Negeri menyertai Daurah Talaqi Al-Quran di Masjidilharam.

Lima pelajar tersebut ialah Syed Muhamad Harith Syed Othman dari Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ahmad Mohd Said (Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu), Muhammad Danial Aiman Mohd Sukri (Maahad Darul Bayan, Paka), Almunzir Mohd Hanafiah (Maahad Darul Quran, Rusila) dan Fakhrurazi Yahya (Maahad Darul Ansar, Kuala Berang).

Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid memaklumkan, program itu merupakan projek perintis untuk memberi peluang kepada anak-anak negeri mengutip ilmu secara langsung daripada pakar-pakar al-Quran di sana.

“Dalam lawatan kerja Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat ke Arab Saudi tahun lalu, satu persetujuan telah dicapai untuk menghantar anak-anak Terengganu menyertai program ini bagi meningkatkan kecemerlangan dalam bidang al-Quran.

“Jadi, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama dan Adat Melayu Terengganu (JHEAT) telah memilih lima pelajar sekolah terbaik hafazan al-Quran dalam Terengganu dan mengadakan ujian pemilihan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Majlis Pelepasan Pelajar Daurah Talaqi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pendidikan) JHEAT, Lothman Awang dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Zaini Mohd Nor memaklumkan, program tersebut mendapat tajaan keseluruhan sebanyak RM 37,500 khusus daripada Menteri Besar.

“Insya-Allah, program ini akan berterusan. Kita juga dalam perancangan untuk menghantar para imam berkursus di sana, dijangkakan bermula pada tahun hadapan,” katanya.

Daurah Talaqqi telah disertai oleh hampir 20,000 peserta dari 127 negara dari pelusuk dunia.

Kelima-lima pelajar terbabit akan ditemani Penolong Pesuruhjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Arab Terengganu JHEAT, Mohd Rozman Awang yang bertindak sebagai pegawai pengiring.

Mereka memulakan perjalanan program Daurah Talaqi pagi ini ke Jeddah dan menyertai daurah yang diuruskan pihak pengurusan Maqraah Al-Haramain, Masjidil Haram sehingga 12 Julai 2019.



Sumber: kulihatlangitbiru.com