Wanita cemas anak perempuan tertinggal di R&R Temerloh

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila tertinggal anak perempuannya di hentian rehat dan rawat (R&R) Temerloh, petang ini.

Menurut wanita itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, Nor Azilla Sunny, dia tertinggal anaknya ketika singgah untuk mengisi minyak di hentian rehat dan rawat itu.

Nor Azilla ketika menceritakan kejadian itu berkata, ketika itu anak perempuannya bersama seorang lagi anak lelaki pergi ke surau untuk solat.

“Selepas selesai abangnya tidak tunggu adiknya terus datang ke kereta. Mamanya pula yang memandu seorang diri terus hidupkan enjin dan beredar dari situ,” katanya.

Tambah Nor Azilla, dia kemudiannya bertindak menularkan kejadian itu di media sosial bagi mendapatkan pertolongan sementara dia menunggu di bahu jalan.

“Alhamdulillah, selepas beberapa minit viral seorang pekerja Shell bernama Suria datang bersama anak perempuan saya.  Semoga Allah mudahkan dan murahkan rezeki kalian,” katanya.

Kejadian itu menarik perhatian netizen yang rata-rata lega kerana anak Nor Azilla selamat dan berjaya dipertemukan semula dengan ibunya.

Tidak kurang juga yang menasihati Nor Azilla agar lebih berhati-hati dan berwaspada terutamanya ketika memandu seorang diri.



Sumber: kulihatlangitbiru.com