Adakah Sama Fahaman Politik Termasuk Dalam Makna Sekufu?


Soalan:
Bolehkah berikan sedikit pencerahan berkenaan maksud sebenar bagi istilah sekufu dalam perkahwinan. Adakah sefahaman dalam politik diambil iktibar dalam menentukan ciri sekufu dalam sesebuah perkahwinan?

Jawapan:
Sekufu adalah suatu perkataan dalam bahasa Melayu yang yang diambil dari perkataan Al-Kafa’ah dalam bahasa arab. Menurut Kamus Dewan sekufu adalah; setaraf, sedarjat, sama martabatnya. [Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat]

Manakala perkataan Al-Kafa’ah pula membawa erti: Sama taraf pada kekuatan dan kemuliaan. Antaranya adalah al-Kafa’ah dalam perkahwinan: Dari sudut seorang lelaki itu setaraf dengan orang perempuan dari sudut pangkat dan agama serta selainnya. [Rujuk Al-Mu’jam al-Wasith]

Sebahagian pula berpendapat, Al-Kafa’ah membawa maksud: Seorang lelaki itu sepadan atau setanding dengan seorang perempuan, atau dia (lelaki itu) lebih tinggi darinya dari sudut kedudukan dan juga keagamaan. [Rujuk Mu’jam Mustalahat al-Fiqhiyyah]

Pensyariatan Sekufu Dalam Perkahwinan

Seperti yang diketahui, Al-Kafaah merupakan antara perkara yang dituntut dalam sesebuah perkahwinan. Ini dinyatakan dalam beberapa nas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah itu sendiri. Antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
“Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.” [Surah An-Nur (26)]

Dalam ayat ini terdapat petunjuk kepada pensabitan sekufu dalam perkahwinan. Ini kerana, Allah S.W.T menjelaskan bahawa orang-orang perempuan yang baik itu adalah untuk orang-orang lelaki yang baik dan demikianlah juga sebaliknya.

Seperti yang diketahui, perkataan الطَّيِّبَاتُ adalah menunjukkan kepada makna yang umum. Justeru, sekiranya seseorang lelaki itu baik agamanya, tidak kira sama ada dia kaya atau miskin, berbangsa Quraisy atau tidak, maka dia dianggap layak dan sekufu kepada pasangan perempuan yang juga baik dari sudut agamanya.

Kata Al-Syeikh al-Sya’rawi dalam tafsirannya terhadap ayat di atas: “Kami menyatakan pada tafsir Surah al-Nur ayat 3 sesungguhnya perkahwinan itu didirikan atas dasar sekufu sehingga tidak meninggi satu kedudukan daripada kedudukan yang lain. Salah satu bentuk sekufu adalah Surah al-Nur ayat 26.” [Rujuk Tafsir al-Sya’rawi (16/10243)]

Demikian juga penetapan al-Kafaah dalam perkahwinan diambil berdasarkan sebuah riwayat daripada Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوا إِلَيْهِمْ
“Pilihlah yang terbaik untuk zuriat kamu dan juga yang sekufu dengan kamu, dan bernikahlah dengan mereka.” [Riwayat Ibn Majah (1968)]

Ciri-Ciri Sekufu

Kata Imam Ibn al-Qayyim: “Sesungguhnya para fuqaha telah berbeza pendapat terhadap ciri-ciri al-Kafa’ah. Imam Malik dalam zahir mazhabnya berpendapat bahawa ia adalah sekufu dari sudut keagamaan. Dan dalam sebuah riwayat yang juga daripadanya (Imam Malik), kafaah itu adalah pada tiga sudut iaitu; agama, merdeka, dan juga selamat dari keaiban-keaiban.”

Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa kafaah itu adalah pada nasab (keturunan) dan juga agama.

Imam Ahmad bin Hanbal pula berpendapat bahawa kafaah itu adalah pada agama dan nasab secara khususnya. Manakala sebuah riwayat yang lain dari beliau menyebutkan bahawa kafaah itu ada lima iaitu; agama, nasab, merdeka, kepakaran (pekerjaan), dan juga harta benda. Dan apabila diambil kira nasab dalam isu kafaah ini, maka terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad.

Pertama: Golongan arab dengan arab adalah dianggap sebagai sekufu.

Kedua: Seseorang yang berbangsa Quraisy tidak sekufu melainkan dengan orang Quraisy juga. Begitu juga kelompok Bani Hashim tidak dikira sekufu melainkan dengan individu dari kalangan Bani Hashim juga.

Manakala para ashab Imam Al-Syafi’e berpendapat: “Diambil kira pada kafaah itu adalah pada agama, nasab, merdeka, kepakaran, dan juga sejahtera dari aib-aib (kekurangan) yang menyebabkan orang jauh daripadanya.” [Rujuk Zad al-Ma’ad, Ibn Qayyim al-Jauziyyah (5/145)]

Kami menyatakan bahawa penetapan nasab keturunan sebagai syarat sekufu adalah kurang tepat. Ini kerana pada zaman Nabi S.A.W baginda ada mengahwinkan beberapa orang sahabat atau sahabiyyah yang berbangsa Quraisy dengan pasangan yang bukan berbangsa Quraisy.

Sebagai contohnya, baginda S.A.W mengahwinkan Bilal bin Rabah R.A dengan saudari perempuan Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A yang berbangsa Quraisy. Begitu juga baginda mengahwinkan Zainab binti Jahsy dari kalangan bangsa Quraisy dengan anak angkat baginda iaitu Zaid bin Haritsah.

Maka keadaan ini jelas menunjukkan bahawa sekufu pada nasab keturunan bukanlah suatu yang paling utama diambil kira dalam perkahwinan.

Oleh kerana itulah Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Maka yang menjadi teras hukum Nabi S.A.W adalah mengambil kira isu agama dalam soal al-kafa’ah secara asas dan juga kesempurnaan. Maka tidak boleh dikahwinkan wanita yang beragama Islam dengan lelaki yang kafir. Tidak boleh juga wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat. Dan al-Quran serta al-Sunnah tidak mengambil kira soal sekufu ini pada perkara-perkara selain dari itu (agama).”

Kata beliau lagi: “Nasab (keturunan) dan juga pekerjaan tidak diambil kira (dalam isu al-Kafaah). Demikian juga tidak diambil kira isu kaya atau miskin. Lalu dibolehkan untuk golongan selain Quraisy berkahwin dengan wanita-wanita berbangsa Quraisy. Begitu juga boleh untuk golongan selain Bani Hashim berkahwin dengan wanita-wanita dari kalangan Bani Hashim. Serta dibolehkan untuk orang-orang yang miskin bernikah dengan perempuan-perempuan yang senang (berada).” [Rujuk Zaad al-Ma’ad, Ibn Al-Qayyim (5/144)]

Bahkan antara hujah yang menguatkan penetapan agama sebagai suatu faktor penting dalam isu sekufu dalam perkahwinan adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
“Apabila datang kepada kamu (golongan wali) mereka yang kamu redha akan akhlak dan agamanya maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang besar.” [Riwayat Ibn Majah (1967)]

Syeikh Abu al-Hasan al-Sindi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: “Iaitu apabila ada seorang lelaki yang datang meminang anak perempuan kamu adalah seorang yang kamu redha dengan akhlaknya, kerana akhlak adalah madar (ruang lingkup) bagi eloknya kehidupan seseorang sama seperti agama adalah madar bagi perlaksanaan hak-hak.” [Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah (1/606)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa pendapat yang paling utama dalam menjelaskan makna al-kafaah ialah kesepadanan atau setara pada agama. Ini bertepatan dengan hadis yang telah kami sebutkan tentang petunjuk dalam memilih menantu lelaki di atas.

Demikian juga petunjuk syarak dalam memilih orang perempuan yang sesuai untuk dijadikan sebagai isteri juga menitik beratkan soal agama. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
“Seorang perempuan itu dikahwini disebabkan empat perkara. (Iaitu) kerana hartanya, kedudukannya, kecantikannya, dan juga kerana agamanya. Maka pilihlah kamu wanita yang beragama nescaya tangan kamu akan bersih dari kotoran.” [Riwayat Muslim (1466)]

Maka kedua-dua dalil di atas ini merupakan isyarat yang jelas dalam menggambarkan bahawa ciri beragama bagi suami dan isteri merupakan faktor utama yang menjadi penekanan dalam sesebuah perkahwinan.

Meskipun begitu, kami juga tidak menafikan bahawa uruf setempat juga perlu diambil kira dalam isu kafaah ini. Iaitu kadangkala kesefahaman dalam politik, isu kenegerian, latar belakang keturunan juga perlu diambil kira dan diberi penekanan sebelum kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin itu mendirikan rumah tangga.

Justeru sekiranya tidak ada kesefahaman dalam isu politik antara dua pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan akan menimbulkan implikasi negatif sepanjang tempoh perkahwinan, seperti pergaduhan berterusan atau membawa kepada perceraian, maka kafaah dalam isu-isu politik juga perlu diambil kira sebelum sesebuah perkahwinan itu didirikan. Inilah yang dimaksudkan dengan فقه المآل iaitu fiqh yang mengambil kira implikasi dan kesan yang bakal berlaku dari sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini sedikit sebanyak memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media