Curi 5 paket durian Musang King, lelaki dipenjara sehari, denda RM1,000


Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 terhadap seorang pekerja bazar malam selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri durian Musang King pada 1 Jun lalu. 

Tertuduh, Luqman Hakim Yusof, 24, mengaku bersalah di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 

Berdasarkan pertuduhan, Luqman didakwa mencuri lima paket durian Musang King yang dianggar bernilai RM400 kepunyaan pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam, 1 Jun 2019 pada jam 6 petang. 

Luqman didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azamuddin Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Sallehudin Salam. 

Terdahulu, Khairul memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dijatuhkan terhadap Luqman dan berbentuk pengajaran kepadannya. 

Bagaimanapun, Sallehudin dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana tertuduh perlu mejaga ibunya yang lumpuh dan sudah menyesal dengan perbuatannya itu. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my