Hadith: Penyakit Bersama Penawar

Posted on Thursday, July 04, 2019 | 7/04/2019



Soalan:
Benarkah terdapat hadith bahawa Allah SWT tidak menurunkan penyakit melainkan turun bersamanya penawar?

Jawapan:
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT tidak akan terlepas daripada terkena ujian. Ada di antara mereka yang diuji dengan kesakitan, kesusahan hidup, kematian dan sebagainya berdasarkan kepada tahap mereka. Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” [Al-Mulk: 2]

Merujuk kepada soalan di atas, memang terdapat hadith yang menyatakan bahawa Allah SWT akan menurunkan penawar bagi setiap penyakit yang diturunkan. Antara hadith tersebut adalah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” [Riwayat al-Bukhari (5678)]

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ، خَلَقَ الدَّوَاءَ، فَتَدَاوَوْا
“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.” [Riwayat Ahmad (12596), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh meniali hadith ini sebagai sahih li ghairihi]

Melihat kepada keseluruhan lafaz-lafaz hadith yang menceritakan berkaitan hal ini, diketahui bahawa yang dimaksudkan dengan diturunkan di dalam hadith ini ialah diturunkan ilmu berkaitan penyakit tersebut melalui Jibril kepada Nabi SAW atau ia difahami dengan diturunkan kemampuan. Hadith-hadith ini juga menunjukkan keterikatan dalam perubatan ini hanya dengan perkara yang halal sahaja. Maka dengan itu, tidak dibenarkan bagi seseorang itu untuk berubat dengan perkara-perkara yang haram sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. [Lihat: Fath al-Bari, 10/135]

Di samping itu juga, di antara dalil tidak dibenarkan untuk kita berubat dengan perkara yang haram atau kotor adalah:

Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ
“Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.” [Riwayat Abu Daud (3874), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh meniali hadith ini sebagai sahih li ghairihi]

Manakala di dalam sebuah hadith yang lain pula, dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ
“Nabi melarang daripada berubat dengan ubat yang kotor.” [Riwayat Ahmad (8048), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah hasan]

Kedua hadith di atas secara jelas melarang daripada menggunakan benda-benda yang najis dan haram bagi tujuan perubatan. Walau bagaimanapun di dalam kitab al-Majmu’ dinyatakan bahawa larangan tersebut (berubat dengan yang haram dan najis) ialah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci. [Lihat: al-Majmu’, 9/58]

Penutup

Kesimpulannya, memang terdapat hadith yang sahih menyatakan bahawa setiap penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT, pasti akan diturunkan penawar bersama dengannya. Di samping itu, kita dituntut untuk berubat dengan perkara-perkara atau benda-benda yang halal melainkan ada keperluan dalam hal tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kesihatan yang baik agar dengan itu kita dapat menunaikan ketaatan kepada Allah SWT dengan sempurna. Amin.

Wallahua’alam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/04/2019

0 comments:

Loading...