Hukum Melakukan Amalan Untuk Mendapat Ganjaran Bersifat Keduniaan

Posted on Thursday, July 11, 2019 | 7/11/2019



Soalan:
Bolehkah kita melakukan amalan untuk mengharapkan habuan dunia semata-mata. Contohnya, kita melakukan solat sunat Dhuha dan membaca surah al-Waqiah untuk mendapatkan kekayaan di dunia? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:
Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya melakukan amal ibadat ikhlas semata-mata kerana-Nya. Allah SWT berfirman:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاة ۚ
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah: 5)

Firman Allah SWT lagi di dalam al-Quran:

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ
“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah dan bawaanmu kepada-Nya.” (Surah al-Zumar: 2)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ‘فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ’ menyebut bahawa maksudnya: “Sembahlah Allah SWT semata-mata yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan serulah manusia kepada perkara tersebut. Serta ajarkanlah kepada mereka bahawa tidak layak untuk melakukan ibadah kecuali hanya kepada-Nya sahaja. Sesungguhnya Allah SWT tidak mempunyai sekutu, bandingan atau tandingannya.” (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 4:46)

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah bersabda dalam satu hadith:

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah SWT dan rasul-Nya dan barangsiapa yang berhijrah kerana menginginkan harta benda dunia atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya mengikut kepada nilai apa yang dia berhijrah kepadanya.” [Riwayat al-Bukhari: (54)]

Ibn Daqiq al-Eid RA menukilkan daripada Imam Ahmad RA dan Imam al-Syafie RA hadith ini mengandungi satu pertiga ilmu. Al-Baihaqi menyebut bahawa satu pertiga ilmu kerana perbuatan seseorang hamba itu ialah melalui hatinya, lidahnya dan anggota badannya, maka niat adalah salah satu daripada tiga bahagian tersebut. (Rujuk Syarah Ibn Daqiq al-Eid ‘ala al-Arbain al-Nawawiah: 7-8)

Berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan hadith di atas, jelaslah bahawa kita diperintahkan untuk melaksanakan amal ibadah secara ikhlas hanya semata-mata kerana Allah SWT, tanpa menyekutukan Allah SWT dalam amal tersebut dengan sesuatu apa pun. Oleh itu, melakukan amalan-amalan yang menjanjikan ganjaran hanya untuk mendapatkan ganjaran tersebut adalah sesuatu yang tidak baik.

Sebaliknya, haruslah kita menginsafi dan mengingati bahawa keredhaan di sisi Allah SWT dan ganjaran-Nya di akhirat adalah lebih besar berbanding ganjaran keduniaan yang bersifat sementara ini. Firman Allah SWT:

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ
“Padahal kehidupan di akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A’laa: 17)

Ingatlah bahawa harta kekayaan dunia bukanlah sesuatu yang mempunyai nilai harga dan kualiti yang kekal selama-lamanya. Ia akan habis dan hilang apabila digunakan. Segalanya akan menjadi rosak, buruk dan tidak boleh digunakan lagi apabila sampai waktunya. Apalah kenikmatan di dunia yang sementara ini jika dibandingkan dengan kenikmatan di akhirat yang kekal abadi dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa hukum melakukan amalan semata-mata ingin mendapat ganjaran yang bersifat keduniaan semata-mata adalah tidak dibolehkan. Ini kerana perkara tersebut akan menyebabkan amal ibadah yang kita lakukan tidak ikhlas untuk Allah SWT, sedangkan kita diperintahkan untuk melakukan amalan hanya kerana-Nya.

Kita berdoa kepada Allah SWT seperti yang disebut di dalam Doa Iftitah yang dibaca pada setiap kali solat agar kita beroleh ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am: 162)

Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/11/2019

0 comments:

Loading...