Kerajaan Cadang, Ketagihan Dadah Bukan Lagi Kesalahan Jenayah


Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad hari ini mengumumkan usaha kerajaan untuk melaksanakan pendekatan baru supaya perbuatan pemilikan dan penggunaan dadah bukan lagi merupakan kesalahan jenayah.

Sambil menyifatkan langkah itu sebagai gamechanger (peneraju perubahan), ia dilakukan dengan mendekriminalisasikan dadah iaitu penghapusan hukuman jenayah bagi pemilihan dan penggunaan dadah.

Bagaimanapun katanya, langkah itu tidak sepatutnya dianggap sebagai cubaan untuk melegalisasikan atau ‘menghalalkan’ dadah.

“Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam mengedar dadah.

“Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah,” kata Dzulkefly dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, isu penggunaan dan rawatan penagihan dadah wajar dilihat dari sudut perubatan dengan mengambil kira faktor penyebabnya.

“Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang menggunakan dadah dan ketagih- mungkin terdapat kecenderungan genetik, keadaan persekitaran seperti kemiskinan, perpecahan keluarga, tekanan di sekolah dan rakan sebaya boleh menyebabkan seseorang mula menggunakan dadah.

“Sudah tentu meletakkan mereka di dalam penjara tidak akan mengubahnya. Ia bukan semata-mata tentang soal seseorang itu memiliki tekad yang lemah,” jelasnya.

Dalam hubungan itu, ujar beliau, rawatan dengan kaedah sains adalah lebih baik berbanding pendekatan menghukum atau menahan.

“Penagih akan dirawat sebagai pesakit (bukan sebagai penjenayah), yang mana ketagihan adalah penyakit yang kita ingin sembuhkan,” katanya.

Dzulkefly menambah, lebih 30 buah negara telah memulakan langkah untuk dekriminalisasi dadah.

Beliau juga merujuk kepada hasil penyelidikan yang menunjukkan langkah itu tidak meningkatkan penggunaan dadah atau jenayah berkaitan dengannya.

Sebaliknya, beliau berkata penyelidikan mendapati dasar itu dapat mengurangkan kos dalam sistem keadilan jenayah dan memperbaiki sistem sosial.

Sumber: New Malaysian Post

Sumber: Oh! Media