Masih ada kementerian gagal urus kewangan dengan baik – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Masih terdapat beberapa kementerian yang gagal menguruskan kewangan serta masih bergantung kepada peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

Menurut Lim Guan Eng, pengalamannya sebagai Menteri Kewangan selama setahun menyaksikan betapa kementerian-kementerian ini terlalu bergantung kepada kementeriannya untuk mendapatkan peruntukan tambahan itu.

“Kalau kewangan (Kementerian Kewangan) memang memadai, kita boleh bantu, tetapi kalau kewangan terhad kerana kita perlu capai sasaran defisit fiskal, itu pun agak sukar untuk dipenuhi. Tetapi kita akan berusaha bersama-sama.

“Kita nak tegaskan bukan jangan berbelanja, tetapi jangan berbelanja melebihi hasil atau pendapatan, supaya kita tahu nilai wang dan menguruskan perbelanjaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini semalam.

Strategi literasi kewangan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir pada majlis ialah Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar.

Dalam pada itu, Guan Eng secara berseloroh membayangkan ekonomi Malaysia akan jatuh merudum sekiranya rakyat tidak berbelanja.

Sebaliknya, beliau berkata, rakyat perlu berbelanja dengan berhemah supaya tidak melebihi hasil atau pendapatan mereka.

Katanya, rakyat juga perlu pandai menguruskan kewangan masing-masing walaupun ia merupakan sesuatu perkara yang agak sukar dilakukan.

“Kalau hendak rakyat berjimat sahaja, saya rasa ekonomi Malaysia akan merudum. Ini kerana kita mahu dari segi penggunaan dan perbelanjaan mereka dapat meningkatkan ekonomi negara.

“Biar dipertingkatkan (perbelanjaan) secara berhemah agar ia tidak melebihi hasil dan pendapatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: myterengganu.com