Onani Berkali-Kali, Perlukah Mandi Junub Berulang Kali?

Posted on Wednesday, July 17, 2019 | 7/17/2019



Soalan:
Sekiranya seseorang itu beronani berulangkali dalam sesuatu masa, atau seseorang itu mengadakan hubungan suami isteri berkali-kali, adakah dia perlu mandi wajib dengan jumlah yang banyak juga atau memadai sekali mandi junub sahaja?

Jawapan:
Sebelum kami menjawab persoalan di atas dengan lebih lanjut, kami menyatakan keperluan untuk mengulas berkenaan perbuatan onani dan juga hukumnya di dalam Islam. Dari sudut bahasa, onani berasal dari kata terbitan استمنى yang bererti usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah ia membawa maksud: “Mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri.”

Secara umumnya, Allah S.W.T berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
“(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.” [Surah Al-Mu’minun (5-7)]

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama' kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Al-Syafie Rahimahullah dalam ulasan beliau kepada ayat ini berkata:

فَلَا يَحِلُّ الْعَمَلُ بِالذَّكَرِ إلَّا فِي الزَّوْجَةِ أَوْ فِي مِلْكِ الْيَمِينِ وَلَا يَحِلُّ الِاسْتِمْنَاءُ وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ
“Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” [Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (5/102)]

Manakala para ulama yang mengharamkan ini adalah melibatkan orang lelaki dan juga orang perempuan. Kata Imam al-Ruhaibani dari kalangan fuqaha hanabilah: “Dan sesiapa yang beronani dari kalangan lelaki dan perempuan tanpa sebarang hajat, maka haram melakukannya dan dia dihukum takzir atas perbuatan tersebut kerana ia merupakan suatu maksiat.” [Rujuk Mathalib Ulil Nuha, Al-Ruhaibani (6/226)]

Justeru, secara umumnya perbuatan beronani adalah haram di sisi syarak, dan yang lebih utama bagi seseorang itu adalah mengikut petunjuk Rasulullah SAW kepada para pemuda yang tidak mampu berkahwin iaitu dengan cara membiasakan diri dengan puasa yang boleh mengurangkan keinginan dan mengajar cara-cara bersabar serta memperteguhkan keimanan, ketaqwaan yang ada dalam diri seperti yang disimpulkan oleh baginda SAW dalam sabdanya:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Wahai para pemuda, barangsiapa yang sudah ada kemampuan dalam kalangan kamu hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya (dalam mengekang hawa nafsu).” [Riwayat Al-Bukhari (5065)]

Selain daripada itu hendaklah dicegah sejak awal keinginan seksual yang sia-sia itu dengan cara menundukkan pandangan, sama ada bagi lelaki ataupun wanita, supaya tidak terbawa-bawa sehingga mengakibatkan gangguan kepada tubuh badan dan fikiran. Ini jelas dinaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” [Surah al-Nur (30-31)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan kata-kata Imam al-Nawawi seperti berikut:

إذَا أَحْدَثَ أَحْدَاثًا مُتَّفِقَةً أَوْ مُخْتَلِفَةً كَفَاهُ وُضُوءٌ وَاحِدٌ بِالْإِجْمَاعِ وَكَذَا لَوْ أَجْنَبَ مَرَّاتٍ بجماع امرأة واحدة ونسوة أَوْ احْتِلَامٍ أَوْ بِالْمَجْمُوعِ كَفَاهُ غُسْلٌ بِالْإِجْمَاعِ سواء كَانَ الْجِمَاعُ مُبَاحًا أَوْ زِنًا وَمِمَّنْ نَقَلَ الاجماع فيه أبو محمد بن حزم وَاَللَّهُ أَعْلَمُ
“Apabila seseorang itu berhadas dengan beberapa hadas yang sama atau hadas yang berbeza maka memadailah baginya sekali wudhu' sahaja berdasarkan ijma’ (para ulama). Demikian juga sekiranya seseorang itu berjunub beberapa kali disebabkan bersetubuh dengan seorang perempuan, atau dengan beberapa orang perempuan, atau bermimpi, atau (berjunub) disebabkan kesemuanya sekaligus, maka memadailah baginya sekali mandi berdasarkan kepada ijma’. Ia sama ada melalui persetubuhan yang mubah atau melalui zina. Dan antara yang menukilkan ijma’ dalam isu ini adalah Imam Ibn Hazm.” [Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (1/472)]

Berdasarkan kenyataan yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi di atas ini, kita dapat memahami beberapa perkara yang kami ringkaskan dalam bentuk yang berikut:

  • Seseorang yang berhadas dengan hadas yang sama, seperti kentut berkali-kali ataupun buang air kecil berkali-kali dalam suatu tempoh, maka dia hanya perlu mengambil satu kali wudhu' sahaja untuk mengangkat hadas kecil tersebut.
  • Demikian juga seseorang yang berhadas dengan hadas yang berbeza, seperti dia buang air kecil kemudian air besar, kemudian dia terkentut, maka dalam keadaan ini juga dia hanya perlu mengambil satu kali wudhu' sahaja.
  • Begitu juga seseorang yang berjunub dengan junub yang sama seperti keluar air mani berkali-kali sama ada melalui cara yang halal seperti hubungan seks antara suami isteri, atau dengan cara yang haram seperti berzina atau beronani, maka yang wajibnya adalah sekali mandi sahaja.

Sekiranya kita merenung sejenak kepada hikmah di sebalik hal ini, kita akan mendapati bahawa Islam sangat menekankan konsep memberi kemudahan dan menafikan sebarang kesusahan dan kepayahan kepada umat manusia. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“Dan tidaklah Allah itu menjadikan kepayahan ke atas kamu dalam hal agama.” [Surah Al-Hajj (78)]

Maka sekiranya seseorang itu perlu mengangkat hadas berkali-kali apabila berlakunya hadas yang banyak dalam suatu tempoh, pastilah hal ini akan menyukarkan dirinya. Justeru, Islam hanya mensyaratkan sekali wuduk untuk beberapa hadas kecil yang berlaku dalam satu-satu masa, demikian syarak hanya mensyaratkan sekali mandi wajib bagi mengangkat beberapa hadas besar yang berlaku kepada seseorang, dan ini bertepatan dengan konsep رفع الحرج ‘mengangkat kepayahan’ di dalam Islam.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa seseorang yang berjunub banyak kali melalui onani atau hubungan suami isteri, dalam keadaan dia belum mandi wajib, maka dia hanya perlu untuk mandi wajib sekali sahaja dan itu telahpun memadai dalam mengangkat hadas-hadas besar yang berlaku. Ini berdalilkan dengan ijma’ para ulama seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dan juga Imam Ibn Hazm. Maka sekali mandi junub telah pun mengangkat segala hadas-hadas besar meskipun banyak jumlahnya, yang belum diangkat dengan mandi wajib sebelumnya.

Kami juga menegaskan bahawa beronani adalah haram dan membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain. Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/17/2019

0 comments:

Loading...