"Tak Untung Jika Jual Isi Durian" - Datuk Seri Rosli Sulaiman


Isu penjualan durian sehingga ke hari ini terus diperdebatkan oleh pengguna sehingga ada yang mahu memboikot peniaga raja buah itu. Datuk Seri Rosli Sulaiman, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia,tampil mengulas isu berkenaan.

Ditanya bolehkah kerajaan membuat undang-undang dan peraturan jual durian tanpa kulit, beliau berpandangan bahawa beliau tidak nampak kerajaan boleh mengeluarkan apa-apa peraturan kerana sebelum ini, semasa beliau berniaga durian, beliau nyatakan tidak nampak ada kawalan yang pihak kerajaan akan laksanakan dalam soal mengawal dari segi harga durian.

"Buah durian ini dijual mengikut musim dan bukan sentiasa ada. Kalau sentiasa ada mungkin kerajaan boleh kawal kerana lambakan. Harga durian juga tidak menentu kerana ia mengikut musim. Jika berlaku lambakan maka murahlah dan jika sebaliknya ia akan menjadi mahal. Pada saya, pengguna perlu bijak," katanya.

Beliau berpendapat sekiranya kerajaan mahu lakukan sesuatu agar raja buah ini tidak melambung tinggi, kerajaan perlu berbincang dengan pembekal, peniaga dan pekebun. Kerajaan kena lihat dari segi implikasi terhadap penjualan durian ini. Jika lambat jual dan tiada permintaan, ia akan menjadi kerugian kepada peniaga. Ini kerana durian bila gugur daripada pokoknya ia hanya boleh disimpan selama satu malam sahaja. Apabila masuk hari kedua ia akan terbuka dengan sendiri dan gasnya akan keluar dan mempengaruhi rasanya. Hal melibatkan buah durian ini perlu dikaji dan tidak boleh main cakap sahaja.

Datuk Seri Rosli Sulaiman berpandangan sekiranya kerajaan mahu mengawal harga durian, mungkin kerajaan boleh meletakkan harga jualan durian mengikut jenis dan peniaga perlu mempamerkan harga jualan itu kepada pembeli.Jadi peniaga tidak boleh menaikkan harga durian sewenang-wenangnya.

Bila jual isi sahaja, sukar untuk peniaga meletakkan harga. Dalam satu biji durian pun boleh untung RM6. Ada juga isi durian yang cantik dan ada yang tidak. Dalam sebiji durian juga kita tidak tahu berapa ulas isinya. Kalau jual isinya sahaja bagaimana peniaga boleh untung. Pokok pangkalnya, pengguna perlu bijak.

Mengenai isu boikot, beliau mengulas bahawa peniaga dan pengguna perlu ada kesepakatan. Kalau pengguna berasa tidak mahu ditipu, dia boleh makan di situ dan kalau mahal pengguna boleh cari durian di tempat lain. Pengguna perlu bijak. Mereka yang menentukan kawalan pasaran. Pengguna boleh boikot sekiranya durian mahal. Kesannya pengguna akan beralih kepada penjual lain kerana buah durian tidak mampu tahan lama.

Sumber: Sinar Harian

Sumber: Oh! Media