Terengganu FC tagih kelibat Serhii Andrieiev


KUALA TERENGGANU: Pertahanan import baharu Terengganu FC (TFC), Serhii Andrieiev disandarkan tugas mengekang serangan juara Liga Super musim ini, Johor Darul Tazim (JDT) pada aksi terakhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Bekas 'kereta kebal' Terengganu FC II (TFC II) kelahiran Ukraine itu dipanggil bagi mengisi kekosongan posisi itu selepas Amirzafran Wan Nadris terpaksa mengucap selamat tinggal baki saingan Liga Malaysia musim ini berikutan kecederaan serius pada buku lalinya.

Selain Andrieiev, seorang lagi pemain skuad 'adik’ itu, Abdul Shukur Jusoh turut disenaraikan dalam skuad Penyu itu bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan itu.


Penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik berkata, kehadiran pemain import dan tengah pasukan TFC II itu bakal memperkuatkan lagi jentera pertahanan dan tengah untuk berdepan dengan skuad Harimau Selatan itu.

“Pemain itu (Andrieiev) sudah menjalani latihan bersama pemain TFC sejak awal minggu ini. Apa yang kita harapkan kehadiran pemain itu mampu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan bagi menyekat pemain lawan daripada melakukan percubaan.

“Saya juga mengingatkan pemain untuk meningkatkan komunikasi antara satu sama lain ketika beraksi kerana faktor itu penting dalam bola sepak, jika tidak ia memudahkan pihak lawan menyaingi kita.

“Semua pemain terutama barisan pertahanan juga perlu pantas mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya serta tidak melakukan kesilapan mudah bagi mengelak lawan mengambil peluang, apatah lagi beraksi di tempat mereka,” kata Mohamad.

Sebelum ini, TFC berada dalam dilema sama ada mahu menaikkan pangkat pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel atau Andrieiev pada aksi terakhir liga dan saingan Piala Malaysia yang bermula Ogos ini.

Kehadiran pemain import tinggi lampai itu yang bakal digandingkan dengan Hasrullah Hanif Johan pasti menambahkan lagi motivasi pemain skuad itu untuk mengejutkan JDT selepas Petaling Jaya City FC meleburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan itu dengan kemenangan 1- 0 di laman mereka Selasa lalu. - Berita Harian