Anak buang kereta BMW 3 Series, demand bapa belikan Jaguar


Lelaki berusia 22 tahun di Yamunanagar, India, meminta bapanya membeli kereta Jaguar dan membuang kereta BMW 3 Series yang telah diberikan kepadanya, ke dalam sungai. 

Dalam insiden yang berlaku pada Jumaat lalu, selepas membuang kereta mewah itu ke dalam sungai, Akash merakam video kejadian itu lalu dihantar kepada ibubapanya. 

Difahamkan, bapanya, Sanjeev Kumar, membeli BMW itu beberapa bulan lalu yang berharga 3.5 juta Rupee (RM206,167). 

"Akash mahukan kereta Jaguar dari bapanya tetapi bapanya tidak mampu. Tidak puas hati keinginannya tidak dipenuhi, Akash buang kereta itu. 

"Sebelum ini Akash dihadiahkan kereta Toyota Innova oleh keluarga mertuanya tetapi keluarga Akash menjual kereta itu dan hasilnya digunakan untuk membeli BMW. 

"Ibu bapanya menunjukkan beberapa dokumen perubatan yang menunjukkan Akash mengalami masalah psikiatri," kata Pegawai Polis Chhachhrauli, Mukesh Kumar. 

Kereta BMW itu dibawa keluar dari sungai itu selepas beberapa jam dengan bantuan penyelam, orang kampung serta jentera. 

Bagaimanapun, Sanjeev percaya kereta itu terjunam ke dalam sungai ketika anaknya cuba mengelak dari melanggar rusa di jalan raya. 

"Kami ada dua buah kereta iaitu BMW dan Swift. Anak saya tak pernah minta dibelikan kereta Jaguar," katanya. 

Sanjeev dilaporkan memiliki kira-kira 10 hektar tanah pertanian dan dia baru menjual sebidang tanahnya beberapa bulan lalu. 



Sumber : thereporter.my