Bolehkah Mengerjakan Haji Nazar Bersama Haji Badal?

Posted on Friday, August 09, 2019 | 8/09/2019



Soalan:
Jika seseorang yang sudah pernah pergi Haji, lalu bernazar untuk pergi Haji lagi, jika sesuatu hajatnya tercapai, adakah boleh dia mengerjakan Haji badal pada Haji nazarnya itu?

Jawapan:
Haji merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar R.Anhuma, katanya aku mendengar Rasullullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
“Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan Haji dan puasa di bulan Ramadhan.” [Riwayat al-Bukhari (8)]

Badal Haji

Mewakilkan ibadah haji atau lebih dikenali sebagai Badal Haji. Tidak sah apabila mewakilkan ibadah haji kepada orang lain sekiranya ia mempunyai kekuatan dalam melakukannya.

Imam Nawawi di dalam syarahnya menyatakan, pendapat jumhur ulama’ mengharuskan badal (mewakilkan) Haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 8/27)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan diharuskan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain dengan dua keadaan:

  • Uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Ini mungkin kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Dan ia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan dari tuan badannya sekiranya ia masih hidup.
  • Meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan ibadah haji. Maka wajib ke atas warisnya untuk menunaikan haji ke atasnya. Dan ia seorang berkemampuan dari segi kewangan.

Begitu juga harus menunaikan haji ke atas orang lain sama ada yang telah meninggal dunia ataupun yang uzur berpanjangan pada menunaikan haji sunat. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/2098)

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Razi al-Uqaili, katanya:

إِنَّ أَبِي شَيْخٌ كَبِيرٌ لاَ يَسْتَطِيعُ الْحَجَّ وَلاَ الْعُمْرَةَ وَلاَ الظَّعَنَ ‏.‏ قَالَ ‏ "‏ حُجَّ عَنْ أَبِيكَ وَاعْتَمِرْ
“Sesungguhnya ayahku sudah tua sekali, tidak mampu menunaikan haji dan umrah dan tidak berkemampuan ke sana.” Rasulullah SAW bersabda: “Haji dan Umrahkanlah untuk ayahmu.” [Riwayat Abu Daud, (1810)]

Syarat bagi sesiapa yang menunaikan badal Haji kepada orang lain

Disyaratkan bagi sesiapa yang ingin melakukan badal Haji ke atas orang lain, mestilah telah menunaikan Haji wajib ke atas dirinya sendiri. Tidak harus bagi seseorang itu menunaikan badal Haji sekiranya ia masih belum menunaikan Haji Islam (Haji fardhu), Haji Qada’ atau Haji Nazar.

Sekiranya seseorang itu berihram Haji atau Umrah sunat, dan dia masih belum melakukan Haji atau Umrah fardhu maka tertunai ihramnya yang fardhu. Dan sekiranya dia berihram untuk Haji atau Umrah nazar, dan masih belum melakukan Haji dan Umrah fardhu, maka tertunailah ihramnya yang fardhu. Perkara ini boleh dikiaskan kepada sesiapa yang melakukan ihram untuk orang lain dan dia masih belum melaksanakan kefardhuannya. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/291-292)

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A, bahawa Nabi SAW mendengar daripada seorang lelaki berkata:

لبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ, قَالَ: " مَنْ شُبْرُمَةُ? " قَالَ: أَخٌ [ لِي ], أَوْ قَرِيبٌ لِي, قَالَ: " حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ? " قَالَ: لَا.‏ قَالَ: "حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ, ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ "
“Ya Allah aku datang menyambut seruan-Mu bagi pihak Shubrumah.” Baginda SAW bertanya: “Siapakah Shubrumah.” Dia menjawab: “Dia saudaraku, atau keluargaku.” Baginda SAW bertanya: “Adakah kamu telah melakukan Haji ke atas diri kamu?” Dia berkata: “Tidak.” Baginda SAW bersabda: “Lakukan Haji ke atas dirimu kemudian ke atas Shubrumah.” [Riwayat Abu Daud (1811)]

Nazar

Nazar adalah mewajibkan diri untuk melakukan perjanjian yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam karangannya mentakrifkan nazar:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
“Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (yakni mengkaitkan) dengan suatu perkara.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 2/501)

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji nazar adalah, membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syara’ sama ada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 3/21)

Nazar merupakan perkara yang disyariatkan Allah SWT. Firman-Nya:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.” (Surah al-Haj, 29)

Nazar menunaikan Haji

Adapun dalam bernazar untuk menunaikan Haji, dia hendaklah melakukan sendiri sekiranya mampu. Dan sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia digantikan oleh orang lain bagi pihaknya walaupun dikenakan upah. Hal sebagaimana kewajipan ibadah Haji fardhu yang akan dilakukan oleh orang lain sekiranya ia tidak mampu melakukannya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, 3/28)

Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan, sesiapa yang bernazar untuk menunaikan Haji, hendaklah dia menunaikannya. Melainkan, sekiranya dia uzur sehingga tidak mampu melakukan ibadah Haji serta usia yang lanjut, maka boleh diwakilkan ibadah Haji dengan mendapat keizinannya. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/514)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan nas yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa:

  • Seseorang yang bernazar untuk menunaikan Haji hendak disempurnakan dengan dirinya sendiri.
  • Haji nazar tidak boleh diniat (dilakukan) bersama Haji badal yang fadhu (melakukan ibadah Haji bagi pihak orang lain). Ini seperti yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi: “Tidak boleh menunaikan badal Haji fardhu dan nazar Haji dalam masa yang sama, ini kerana seseorang itu tidak boleh menunaikan dua ibadah Haji dalam satu masa yang sama.” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/35)
  • Disyaratkan kepada sesiapa yang ingin melakukan ibadah Haji bagi orang lain, supaya menyempurnakan ibadah Haji yang wajib ke atas dirinya sendiri dahulu.

Oleh itu, tidak boleh melakukan Haji nazar pada masa yang sama melakukan ibadah Haji ke atas orang lain (badal Haji).

Semoga kita diberi kefahaman yang baik untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 8/09/2019

0 comments:

Loading...