Hina Islam dan kematian arwah Muhammad Adib, Chow Mun Fai dipenjara 30 bulan

Posted on Tuesday, August 06, 2019 | 8/06/2019



Padah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di media sosial, seorang penjaja dikenakan hukuman penjara selama 30 bulan. 

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan yang dihadapinya pada 18 Jun lalu. 

"Tindakan tertuduh menghina kematian Muhammad Adib di kala semua orang sedang meratapi kematian dan berkabung di atas kematiannya juga tidak dapat diterima Mahkamah. 

"Perbuatan dilakukan tertuduh adalah melampau dan melebihi had kebebasan bersuara," kata Edwin. 

Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan berhubung kematian Muhammad Adib yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu pada 8.07 pagi, 13 Februari lalu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran menghina Nabi Muhammad SAW yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada jam 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Raj.

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 8/06/2019

0 comments:

Loading...