Hukum Datuk Mengerjakan Aqiqah Buat Cucunya

Posted on Friday, August 09, 2019 | 8/09/2019



Soalan:
Apakah hukumnya seorang datuk yang melakukan sembelihan aqiqah bersempena kelahiran cucunya?

Jawapan:
Dari sudut bahasa aqiqah bermaksud rambut yang terdapat di kepala bayi semasa hari kelahirannya. Manakala dari sudut syarak ia bermaksud sembelihan yang dilakukan ketika dicukur rambut bayi tersebut. [Rujuk Al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami (Hlm. 482)]

Dari sudut feqah, disunatkan untuk dicukur rambut bayi termasuklah bayi perempuan pada hari ke-7 kelahiran sesudah sembelihan aqiqah dilakukan. Ini bermaksud, sembelihan aqiqah itu dianjurkan untuk dibuat pada hari ke-7 kelahiran. Manakala haiwan yang dituntut untuk disembelih semasa aqiqah adalah sama seperti haiwan yang dituntut dalam sembelihan korban iaitu unta, lembu, dan juga kambing.

Anjuran melaksanakan sembelihan aqiqah disebabkan kelahiran bayi adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Samurah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
“Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.” [Riwayat Abu Daud (1522)]

Para ulama' menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan kenyataan ‘bayi tertebus dengan aqiqahnya’ adalah apabila tidak dilakukan aqiqah bagi pihaknya (bayi yang baru dilahirkan) maka dia tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibubapanya pada hari kiamat kelak.

Dari sudut hukum, perlaksanaan akikah adalah sunat muakkad. Dan mukhatab (individu yang ditujukan khitab arahan melakukan aqiqah) adalah individu yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak tersebut iaitu si bapa.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut: “Tidak boleh bagi seorang wali itu melakukan aqiqah menggunakan harta anaknya. Ini kerana sembelihan aqiqah adalah bersifat tabarru’ (menggunakan wang sendiri). Namun sekiranya dia menggunakan juga harta anak tersebut, maka ia perlu digantikan semula. Dan sembelihan aqiqah tidak dituntut ke atas ibu melainkan ketika mana seorang bapa tidak berkemampuan untuk melakukannya.” [Rujuk Al-Minhaj Al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami (Hlm. 482-483)]

Merujuk kepada persoalan di atas, adakah dibolehkah bagi seorang datuk mengerjakan sembelihan aqiqah untuk cucunya, maka berikut kami kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah dari bapanya beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ
“Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan sembelihan aqiqah ke atas Hassan dan juga Husin.” [Riwayat Al-Nasaie (4213)]

Maka berdasarkan kepada riwayat di atas, adalah dibolehkan bagi seorang datuk untuk melakukan sembelihan aqiqah atas kelahiran cucunya. Ini kerana zahir hadis di atas menunjukkan bahawa baginda melakukan aqiqah ke atas dua cucu baginda iaitu Al-Hassan dan Al-Husin.

Oleh kerana itu kata Imam Syams al-Din Al-Ramli Rahimahullah:

وَعَقّهُ صلى الله عليه وآله وسلم عَنِ الْحَسَنِ وَأَخِيهِ لأَنَّهُمَا كَانَا فِي نَفَقَتِهِ لإِعْسَارِ وَالِدَيْهِمَا أَوْ كَانَ بِإِذْنِ أَبِيهِمَا
“Rasulullah SAW melakukan aqiqah terhadap Al-Hassan dan saudara kandungnya (Al-Husin) kerana keduanya berada di bawah nafkah (tanggungan) baginda SAW berikutan kesukaran (ketidakmampuan) kedua ibubapa mereka ataupun (aqiqah tersebut dilakukan) dengan keizinan bapa mereka berdua.” [Rujuk Nihayah al-Muhtaj, Syamsuddin al-Ramli (8/138)]

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa adalah dibolehkan bagi seorang datuk untuk melakukan aqiqah bagi cucunya. Hal ini dibenarkan meskipun ayah kepada bayi tersebut masih hidup. Ini kerana boleh jadi bapa kepada bayi tersebut tidak berkemampuan dari sudut kewangan ataupun boleh jadi kerana kasih sayang seorang datuk kepada cucunya. Maka hukum seorang datuk melakukan sembelihan aqiqah terhadap cucunya adalah mustahab.

Bahkan sekiranya ayah kepada bayi tersebut mampu untuk melakukan aqiqah, namun datuk kepada bayi tersebut ingin melakukan aqiqah kepada cucunya itu, maka hal ini dibolehkan dengan keizinan dari ayah bayi tersebut. Sekiranya tidak ada keizinan dari bapa kepada bayi, maka aqiqah tersebut juga dianggap sebagai sah. Namun kami menyatakan bahawa yang afdhal adalah dengan meminta izin bapa kepada bayi tersebut sebagai cara keluar dari khilaf. Kerana ada sebahagian ulama' yang mensyaratkan perlu kepada keizinan bapa bagi perlaksanaan aqiqah tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 8/09/2019

0 comments:

Loading...